SHAH ALAM - Dewan Negara digesa agar segera merujuk Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang (JPKSUU) untuk penelitian lanjut.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mendakwa, RUU tersebut telah diluluskan secara tergesa-gesa di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu dalam tempoh hanya 16 hari antara penerbitan kertas putih dan pengundian Parlimen.
Dakwanya lagi, proses yang tergesa-gesa itu tidak memberi ruang mencukupi kepada ahli Parlimen, masyarakat sivil, komuniti perniagaan, mahupun orang awam untuk meneliti dengan sewajarnya satu undang-undang yang akan mengawal perolehan di peringkat persekutuan dan negeri.
“C4 Center secara konsisten telah membangkitkan kebimbangan serius terhadap RUU ini, termasuk penumpuan kuasa yang berlebihan di tangan menteri kewangan dan ketua-ketua menteri serta Tribunal Rayuan yang tidak bebas kerana ahlinya dilantik oleh menteri.
“Selain itu, kuasa pendaftar tanpa perlindungan yang mencukupi, melemahkan ketelusan dan akauntabiliti serta kuasa penyiasatan yang luas diberikan kepada pegawai perbendaharaan, dalam sesetengah kes melebihi kuasa polis,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut kenyataan sama, C4 Center turut menggesa para senator untuk menjalankan peranan perlembagaan mereka dengan bertanggungjawab dengan merujuk RUU berkenaan kepada JPKSUU.
Ujarnya, kajian itu mesti memastikan kelemahan dalam RUU Perolehan Kerajaan dapat diperbaiki.
“Pelan penambahbaikan dan pindaan yang jelas perlu dirangka. Hanya melalui penelitian menyeluruh dan penglibatan pihak berkepentingan secara bermakna, Malaysia dapat membina satu sistem perolehan yang mengukuhkan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan awam.
“Dewan Negara kini memikul tanggungjawab penting untuk memastikan pengawasan yang sewajarnya, terutama setelah menerima pelbagai kritikan daripada ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil terhadap RUU ini,” ujarnya.