KAJANG – Penduduk sebuah kawasan perumahan di Semenyih gempar selepas seorang lelaki memanjat bumbung rumah sambil memegang sebilah pisau dalam kejadian pada Khamis.
Aksi berbahaya lelaki berusia 48 tahun itu mencetuskan suasana tegang hampir empat jam sebelum ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang awam kira-kira jam 8.50 malam berhubung tindakan suspek.
Beliau berkata, suspek hanya memakai seluar pendek tanpa baju ketika dilihat berada di atas bumbung sambil memegang pisau.
"Beberapa anggota polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat hadir ke lokasi sebelum usaha memujuk dilakukan hampir empat jam.
"Suspek kemudiannya berjaya ditahan bersama sebilah pisau," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan sudah dirujuk ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah.
"Suspek juga dipercayai bukan berasal dari kawasan Semenyih dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Khairie Ridhwan Azmi di talian 011-36307974 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.