PALAPES tonggak pertahanan negara

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) bersama barisan kepimpinan dan tetamu yang hadir pada Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia, di Serdang pada Khamis

SERDANG – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) tonggak penting dalam mendukung konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peranan PALAPES sebagai pelengkap kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu diperkukuh supaya barisan pegawai muda ini bersedia mendepani sebarang bentuk ancaman pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

“Usaha itu selaras dengan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) yang mendasari pelaksanaan HANRUH.

“Latihan dan pengalaman yang diperoleh di bawah PALAPES akan mendorong pegawai muda untuk terus menyumbangkan kepakaran mereka kepada negara sebaik sahaja ditauliahkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Syarahan Eksekutif Bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, pada Khamis.

Program tersebut menghimpunkan seramai 1,927 pegawai kadet daripada 20 universiti awam membabitkan 1,098 PALAPES Darat, 431 PALAPES Laut dan 398 PALAPES Udara.

Iklan

Mohamed Khaled (kiri) dan Mohd Nizam (kanan) pada sesi pemakaian pangkat Kolonel Kehormat Askar Wataniah kepada Noridah.

Menurut beliau, penganjuran itu bersempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-43 yang bakal dilangsungkan pada 13 September ini.

Selain Syarahan Eksekutif, turut berlangsung sesi pemakaian pangkat Kolonel Kehormat Askar Wataniah oleh Mohamed Khaled kepada beberapa tokoh akademik.

Tokoh berkenaan antaranya Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dato’ Dr Mohamad Fauzan Noordin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Ir Ts Dr Arham Abdullah.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral (Kehormat) Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

HIRAN

Sementara itu, Pegawai Kadet PALAPES Darat, V R Hiran Rao, 22 berkata, melalui sesi soal jawab bersama menteri mereka mendapat penjelasan lebih jelas tentang hala tuju PALAPES serta peluang menyertai Angkatan Tetap ATM selepas ditauliahkan.

“Perkongsian secara terus ini juga membuka ruang untuk bertanya isu-isu semasa berkaitan pertahanan negara,” katanya.

KAI MUN

Senada dengan itu, Pegawai Kadet Kanan PALAPES Laut, Chan Kai Mun, 24 juga berpandangan bahawa program sebegini wajar diteruskan kerana ia memberi ilmu tambahan bukan sekadar berkaitan latihan ketenteraan malah juga mengenai perjalanan kerjaya dalam bidang pertahanan.

“Saya percaya ilmu dan nilai yang ditanam sepanjang penglibatan dalam PALAPES akan menjadi bekalan berguna pada masa hadapan,” katanya.

YASMIN SOFIA

Dalam pada itu, Pegawai Rendah Muda PALAPES Udara, Yasmin Sofea Abdul Halim, 22, pula berharap dapat meneruskan perjuangan dalam laluan ketenteraan sekali gus berbakti semula kepada negara dan masyarakat dengan ilmu serta pengalaman diperoleh daripada PALAPES.