PORT DICKSON - Hasrat pasangan suami isteri untuk berkongsi rezeki melalui infak bertukar menjadi tahlil arwah dua anak mereka yang lemas dalam kejadian kereta menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas, Teluk Kemang pada Khamis.
Kenalan keluarga berkenaan, Aahnisah Hamid, 49, berkata, dia baru sahaja mengenali pasangan tersebut beberapa hari lalu ketika mereka sama-sama memancing di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pasangan itu sebelum ini berkongsi niat untuk menyediakan kira-kira 400 bungkus makanan untuk diagihkan di Masjid Tanjung Agas pada malam esok.
“Saya dan suami yang mempunyai kedai makan bersetuju untuk tolong mereka memasak. Sepatutnya hari ini suami saya akan berjumpa mereka untuk berbincang soal bayaran.
“Namun, tak sangka hari ini anak mereka, masing-masing berusia enam dan lapan tahun, lemas selepas kenderaan dinaiki mereka menggelongsor ke dalam sungai ketika sedang diparkir,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Port Dickson pada Khamis.
Ibu bapa mangsa turut berada di lokasi, namun tidak bersedia untuk ditemu bual kerana masih bersedih dengan kejadian tersebut.
Aahnisah berkata, dia masih terkejut dengan insiden itu.
Ketika kejadian katanya, empat sekeluarga berkenaan baharu tiba di lokasi dan memarkir kenderaan di tebing sungai ketika air surut.
Katanya, sebelum ini anak pasangan itu, yang hanya dipanggil kakak dan adik, sempat menyatakan hasrat mahu merasa masakan ikan olehnya.
“Mereka ada rumah di Air Keroh, Melaka. Jadi jika mereka tidak ada apa-apa, mereka akan datang ke sini untuk berehat dan memancing.
“Ibu mangsa menangis sambil beritahu saya, niat infak jadi tahlil anak pula.
“Sebelum ini dia ada pesan, kalau ada orang tanya siapa yang infak, jangan beritahu nama dia,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kenderaan yang diparkir dalam keadaan enjin tidak dihidupkan menggelongsor sendiri ke dalam sungai.
Ketika itu, hanya ibu dan dua anak berada di dalam kereta, manakala bapa berada di luar untuk merokok.
Ibu mangsa sempat diselamatkan orang awam, namun kedua-dua anak mereka tenggelam bersama kenderaan.
Mayat kanak-kanak perempuan ditemui sekitar jam 1.30 tengah hari, manakala kanak-kanak lelaki ditemui 20 minit kemudian.
Kedua-duanya disahkan meninggal dunia selepas rawatan CPR gagal menyelamatkan mereka.
Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara proses bedah siasat dilakukan di Hospital Port Dickson.