TikTok perlu perkenal mekanisme pengesahan identiti, umur - Fahmi

Iklan
Fahmi. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Platform media sosial TikTok diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan identiti dan umur bagi mengelakkan kanak-kanak bawah 13 tahun daripada mencipta akaun di aplikasi berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mekanisme sedia ada yang digunakan platform itu untuk menyaring pengguna jelas gagal berfungsi dengan berkesan.

Iklan
Iklan

“Daripada pengamatan saya sendiri dan Timbalan Menteri (Komunikasi), kita dapati masalah dalam platform media sosial termasuk TikTok ialah kehadiran kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

“Dalam banyak lawatan saya ke sekolah rendah, saya mendapati kanak-kanak seawal Tahun 1 sudah memiliki akaun TikTok,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Perjumpaan Menteri Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama TikTok di Bukit Aman, di sini pada Khamis.

Iklan

Fahmi berkata, perkara itu antara isu utama yang dibincangkan pihaknya bersama TikTok, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada perjumpaan tersebut.

“Kita memberi masa kepada TikTok untuk mencari mekanisme terbaik yang boleh digunakan di platform berkenaan dengan kerjasama PDRM dan SKMM.

Iklan

“Kita perlu meneliti apakah mekanisme sesuai dan meneladani apa yang dilakukan di negara lain seperti Singapura dan Australia,” katanya.

Menurutnya, TikTok merupakan antara syarikat media sosial terawal yang dilesenkan di Malaysia dan tindakan boleh dikenakan sekiranya gagal mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Perbincangan antara Kementerian Komunikasi bersama PDRM, SKMM dan TikTok masih berlangsung bagi mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

“Kita akan bincang dahulu. Kita pegang teguh kepada hak rakyat untuk bersuara, itu tetap akan kita pertahankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 76,002 kandungan berjaya diturunkan daripada platform berkenaan, namun 10,730 kandungan gagal dipadamkan meskipun diminta oleh SKMM.

“Alasan mereka tidak menurunkan kandungan berkenaan adalah kerana menganggapnya tidak melanggar garis panduan komuniti (community guideline).

“Ini bermaksud kadar penurunan kandungan hanya 86 peratus dan TikTok masih gagal menepati tahap yang memuaskan,” katanya.