Kematangan kunci peningkatan Pearly–Thinaah

Iklan
Thinaah-Pearly naib juara beregu wanita Kejohanan Dunia. Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM

JURULATIH beregu badminton wanita negara, Rosman Razak menegaskan faktor kematangan menjadi teras utama peningkatan prestasi Pearly Tan–M. Thinaah sehingga berjaya muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Perancis.

Menurut beliau, gandingan nombor satu negara itu kini berani melakukan perubahan taktikal ketika permainan berlangsung, selain tidak mudah kecewa apabila strategi asal tidak menjadi.

Iklan
Iklan

“Sejujurnya pada ketika ini saya nampak itu tanda kematangan dipamerkan di gelanggang,” katanya.

Dalam final yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, Pearly–Thinaah akur bergelar naib juara selepas tewas kepada beregu nombor satu dunia dari China, Liu Shengshu–Tan Ning, 14-21, 22-20, 17-21 dalam pertarungan sengit selama 83 minit.

Iklan

Rosman turut memuji ketabahan anak didiknya yang berdepan pelbagai cabaran sepanjang musim, termasuk prestasi tidak menentu, kecederaan dan tekanan emosi.

“Yang membezakan Pearly–Thinaah ialah keinginan mereka untuk menang. Mereka sentiasa mencari solusi biarpun ketika permainan tidak menentu,” ujarnya.

Iklan

Tambahnya lagi, kejayaan tersebut wajar dijadikan inspirasi buat pemain muda memandangkan selama ini badminton Malaysia lebih sinonim dengan kejayaan pemain lelaki.

“Pearly–Thinaah telah membuktikan pemain wanita juga mampu mencipta sejarah. Saya harap pemain junior menjadikan mereka sebagai penanda aras kerana mereka masih aktif dan boleh dijadikan contoh,” katanya.

Beliau turut mengakui pencapaian bersejarah itu tidak mungkin digapai tanpa sokongan padu pelbagai pihak termasuk Program Road To Gold (RTG), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Ini bukan hanya kerja seorang jurulatih atau pemain. Ramai pihak terlibat di belakang tabir dan kejayaan ini adalah milik semua,” katanya lagi.