PETALING JAYA – Gabungan 24 persatuan taska di seluruh negara bersolidariti menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi antara RM500 hingga RM600 seorang bayi bagi mengatasi krisis kritikal apabila semakin banyak taska enggan menerima bayi berusia bawah setahun disebabkan kos pengasuhan terlalu tinggi.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah berkata, langkah itu amat penting memandangkan inisiatif pengasuhan bayi memerlukan lebih tenaga kerja, kepakaran serta kawalan keselamatan yang rapi berbanding kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.
Menurutnya, kerajaan harus menyedari pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar penjagaan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik negara untuk membentuk generasi berkualiti, berdaya saing dan berakhlak.
Tambah Norsheila, kajian antarabangsa juga membuktikan bahawa pelaburan dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak memberi pulangan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
"Ramai pengusaha taska menolak pendaftaran bayi bawah setahun kerana kos penjagaan tidak seimbang dengan bayaran ibu bapa.
"Penawaran nilai subsidi ini mampu meringankan beban ibu bapa sekali gus memastikan bayi mendapat asuhan berkualiti di taska berdaftar bukan di tempat tidak sah,” katanya dalam satu sidang media khas PPBM bersama ahli gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kelana Jaya di sini pada Khamis.
Sebelum ini, laporan khas Sinar Harian mendedahkan sektor asuhan awal kanak-kanak negara berdepan krisis apabila 35 hingga 40 peratus pengusaha taska berdaftar di seluruh negara menamatkan perkhidmatan menjaga bayi di bawah usia setahun.
Lebih membimbangkan, peningkatan kos operasi taska melambung tinggi saban tahun serta risiko pengenaan hukuman berat akibat peraturan ketat menyebabkan 15 hingga 25 peratus taska kini mempertimbangkan penutupan perniagaan.
Norsheila berkata, fenomena itu bukan sekadar isu pengurusan pusat asuhan, sebaliknya menggambarkan kegagalan sistemik dalam status sosioekonomi keluarga bandar dan luar bandar yang tercetus disebabkan aspek perkhidmatan asas penjagaan bayi semakin terhakis.
Jelasnya, dengan jumlah taska berdaftar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) kini hanya direkodkan 4,039 buah seluruh Malaysia, risiko bayi dan kanak-kanak berusia bawah empat tahun terdedah kepada ancaman penderaan serta pengabaian pengawasan oleh pengasuh-pengasuh persendirian serta taska tidak bertauliah kini sangat tinggi.
Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengasuh, Norsheila menegaskan gabungan itu mencadangkan kerajaan mewujudkan skim khas gaji minimum kepada tenaga pengasuh mengikut lokaliti dan tidak bersifat pukal disebabkan kos operasi berbeza di bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Jika ditetapkan satu kadar tetap, contohnya RM1,700 sebulan, ia sukar dilaksanakan secara menyeluruh kerana realiti kos dan kemampuan ibu bapa berbeza di setiap negeri.
"Kadar lebih wajar ialah sekitar RM2,500, namun mekanisme khusus perlu diwujudkan supaya majikan dan ibu bapa tidak terbeban,” katanya.
Beliau mendedahkan ketika ini hanya terdapat kira-kira 4,039 taska berdaftar di seluruh negara, sedangkan jumlah kanak-kanak berusia 0 hingga 6 tahun mencecah 2.9 juta orang.
Jelasnya, faktor utama ramai pengusaha pusat asuhan tidak berdaftar atau pengasuh bergerak tidak bertauliah disebabkan isu pengenaan syarat dan ketetapan piawaian pembukaan pusat asuhan atau taska yang terlalu ketat, memakan kos sangat tinggi serta memerlukan tempoh kelulusan pada sela waktu tertentu.
"Justeru, saya fikir pihak kementerian bersama agensi kerajaan berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi kemudahan kepada mana-mana pengusaha taska tanpa tauliah untuk membantu mereka mendapatkan lesen sewajarnya. Pihak persatuan pun boleh bantu.
“Malaysia sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya 40,000 hingga 50,000 taska berdaftar, barulah mencukupi untuk menampung keperluan sebenar.
"Situasi ini sangat membimbangkan kerana tanpa taska berdaftar yang mencukupi, ibu bapa mungkin terpaksa menghantar anak ke pusat tidak berdaftar yang tiada kawalan selamat,” katanya.
Justeru, Norsheila berkata, PPBM dan gabungan persatuan taska negeri menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu pendidikan awal kanak-kanak dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk menggubal Akta Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang lebih komprehensif serta memperkenalkan Akta Profesional ECCE (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) bagi mengiktiraf pengasuh dan pendidik sebagai tenaga kerja bertauliah.
“Pelaburan dalam pendidikan awal bukan sahaja untuk kanak-kanak, malah pelaburan untuk masa depan negara.
"Setiap RM1 dibelanjakan untuk pendidikan awal mampu memberi pulangan sekitar RM7 kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial," tegas Norsheila.
Berdasarkan sumber data JKM, daripada keseluruhan 4,039 taska berdaftar, Selangor mencatatkan jumlah operasi taska tertinggi sebanyak 1,439, diikuti Johor (445); Sabah (257), Kuala Lumpur (210); Kedah (126); Kelantan (198); Melaka (213); Negeri Sembilan (178) dan Pahang (176).
Selain itu, Perak mencatatkan operasi taska sebanyak 198 buah, Perlis (45), Pulau Pinang (184), Sarawak (163), Terengganu (136), Labuan (16) dan Putrajaya (53).