IPOH – Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Ipoh dengan menahan seorang lelaki serta merampas lebih dua kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM125,015 dalam satu serbuan pada Rabu.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sebuah rumah di Taman Rishah, di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati suspek mula aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Jun tahun lalu.
“Hasil pemeriksaan di sebuah rumah kosong, pihak polis menjumpai 280 peket plastik mengandungi dadah jenis methamphetamin seberat 1.3kg, ketamin (0.37kg), heroin (0.34kg) dan tiga ketulan daun mampat disyaki ganja seberat 0.18kg.
“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Noor Hisam berkata, semakan mendapati suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah didapati negatif bahan terlarang menerusi ujian saringan air kencing.
“Dadah yang dirampas disyaki untuk edaran pasaran tempatan dan jumlah tersebut boleh dibekalkan kepada 2,000 penagih.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.