PETALING JAYA – Pengusaha-pengusaha taska dikendalikan bukan Melayu di seluruh negara kini berdepan dilema kekurangan kemasukan murid saban tahun berikutan kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina dan India semakin merosot sejak 15 tahun lalu.
Penolong Bendahari Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE Council), Karen Tan berkata, faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran tersebut adalah kos penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang semakin melambung tinggi dan sukar dibiayai pasangan muda masa kini.
Dengan kadar yuran pengasuhan bulanan bagi seorang bayi di taska bukan Melayu berdaftar boleh mencecah RM1,500, Karen mendedahkan, keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa muda kini terpaksa mengawal jumlah kelahiran anak dengan rata-rata hanya berani mempunyai seorang anak sahaja.
“Di bandar, yuran bulanan bagi seorang bayi di taska berdaftar boleh mencecah RM1,500. Malah, pengasuh di rumah atau pusat jagaan tidak berdaftar juga mengenakan bayaran lebih RM1,000.
"Keadaan ini menyebabkan ramai ibu bapa hanya berani mempunyai seorang anak sahaja. Bahkan ada yang sanggup tinggalkan anak di kampung untuk dijaga datuk dan nenek kerana kos di bandar terlalu tinggi," katanya ketika sidang akhbar bersama Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) di Kelana Jaya di sini pada Khamis.
Tambah Karen, trend tersebut kian ketara dalam kalangan masyarakat Cina khususnya, apabila ramai pasangan memilih untuk tidak menambah bilangan anak selepas seorang selain ada memilih trend berkahwin tanpa anak kerana tidak mampu menanggung kos taska yang meningkat saban tahun.
Tegas beliau, sekiranya keadaan ini berterusan, ia berisiko mempercepatkan krisis penuaan penduduk di Malaysia.
"Kadar pendaftaran di taska juga menunjukkan trend penurunan. Bagaimanapun, jumlah taska berdaftar masih banyak. Jadi kita tidak dapat pastikan sama ada penurunan ini berpunca daripada faktor kos atau sebab lain.
"Namun begitu, jelas terdapat kecenderungan untuk tidak menambah bilangan anak kerana kos penjagaan awal semakin meningkat.
“Penurunan kadar kelahiran akan menyebabkan masyarakat kita lebih cepat menjadi negara tua. Dalam jangka panjang, ini akan memberi kesan besar kepada tenaga kerja dan daya saing ekonomi negara,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negeri Sembilan, Sin Kia Wai berkata, dengan kapasiti hanya sekitar 30 kanak-kanak, sebuah taska memerlukan sekurang-kurangnya tujuh orang pekerja bagi menepati nisbah pengasuh kepada kanak-kanak yang ditetapkan.
“Gaji pekerja menyumbang sehingga 70 peratus kos operasi. Untuk memastikan kualiti penjagaan, taska perlu menggaji staf berkelayakan dengan gaji sekitar RM2,000 hingga RM2,500 seorang. Inilah sebab yuran taska di bandar tidak dapat diturunkan,” katanya.
Jelas Kia Wai, walaupun kerajaan ada menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kebanyakan ibu bapa di bandar tidak layak kerana syarat pendapatan isi rumah ditetapkan RM3,000 ke bawah.
“Realitinya, di bandar walaupun gaji minimum sekitar RM1,700, kos sara hidup yang tinggi membuatkan syarat ini tidak lagi relevan.
"Subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada ibu bapa, bukan taska, supaya mereka bebas memilih pusat jagaan yang sesuai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Childline Foundation, Wong Phui Hong mencadangkan kepada kerajaan agar menilai semula mekanisme subsidi mengikut lokasi dengan ambang kelayakan lebih tinggi di bandar.
“Di Singapura, subsidi yang diberikan kepada ibu bapa boleh mencecah 50 hingga 60 peratus kos taska.
"Jika Malaysia boleh mencontohi model ini, ia dapat menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja dan dalam masa sama mengurangkan beban kewangan keluarga muda,” katanya.