PORT DICKSON - Dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki bersama dua individu lain terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tanjung Agas, Teluk Kemang di sini, dalam kejadian pada Khamis.
Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zulfadli Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 11.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.05 tengah hari, didapati sebuah kereta jenis Nissan Teana telah terjatuh ke dalam sungai.
“Terdapat empat mangsa di dalam kenderaan tersebut iaitu dua orang dewasa dan dua kanak-kanak. Seorang lelaki dan seorang wanita dewasa berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, katanya, dua kanak-kanak — seorang lelaki berusia enam tahun dan seorang perempuan berusia lapan tahun dipercayai masih terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
Ujar beliau, dua dewasa yang terselamat merupakan pasangan suami isteri, sementara hubungan dua kanak-kanak terbabit masih belum dikenal pasti.
“Setakat ini, keadaan kedua-dua kanak-kanak itu belum dapat dipastikan dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan oleh Pasukan Khas Operasi (PKO),” katanya.
Maklumat lanjut mengenai kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.