[VIDEO] Pemandu lori didakwa bunuh 'mak nyah'

Iklan

IPOH – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan sengaja melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki minggu lalu.

Tertuduh, M I Saravanan, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian mangsa dikenali sebagai Fendi di lorong tepi bangunan hotel, Jalan Horley, di sini pada 27 Ogos lalu.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Saravanan dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan sengaja melakukan pembunuhan terhadap mak nyah, minggu lalu.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini memohon tarikh sebutan untuk mendapatkan beberapa laporan termasuk bedah siasat, patologi, Jabatan Pendaftaran Negara dan forensik kamera litar tertutup (CCTV).

Tertuduh yang diwakili peguam, S Vinesh memohon agar prosiding mahkamah dipercepatkan bagi menjamin perbicaraan yang adil.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 November depan bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui maut dipercayai dibunuh di lorong berhampiran Jalan Horley, Kampung Jawa, awal pagi 27 Ogos lalu.

Mangsa ditemui oleh seorang pekerja hotel sekitar jam 6 pagi dalam keadaan terbaring berlumuran darah bersama rambut palsu berwarna perang.

Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan bahagian belakang badan, dipercayai akibat digilis oleh sebuah lori bonded berwarna putih sebelum ditinggalkan di lokasi kejadian.