BATU PAHAT – Satu lagi gempa bumi lemah direkodkan di Sri Medan, Parit Sulong, petang Rabu, menjadikannya gegaran kelapan sejak kejadian pertama di Segamat pada 24 Ogos lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web memaklumkan, gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 itu berlaku kira-kira 10 kilometer dari barat daya Yong Peng.
Menurut MetMalaysia, gempa berkenaan berpusat pada koordinat 1.95 darjah utara, 102.9 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.
MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi tersebut.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada jam 6.13 pagi, 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1; jam 8.59 pagi, Rabu (3.2); jam 7.56 malam, Khamis (2.5); jam 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan jam 7.29 pagi, Sabtu (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Sementara itu, gegaran terbaharu bermagnitud 3.0 berlaku di Semerah, Batu Pahat pada jam 1.57 petang Ahad lalu, menurut mesej pemberitahuan Google.