KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM64.9 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Alam Shah di sini pada Selasa.
Sumbangan daripada 13 syarikat korporat dan seorang individu itu didahului Lembaga Tabung Haji (TH) yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM28.01 juta menjadikannya penyumbang korporat terbesar kepada LZS pada tahun ini.
Serahan itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Cyberview Sdn Bhd sebanyak RM5.43 juta yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang RM4.57 juta melalui Ketua Pegawai Solusi Perniagaan Global, Datuk Ir Azmi Md Yusof.
Selain itu, Kumpulan Gas Malaysia Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap menyerahkan RM3.50 juta, manakala Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang diwakili Pengerusinya, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak menunaikan zakat berjumlah RM3.42 juta.
Syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Kumpulan Proton sebanyak RM3.19 juta, Kumpulan DRB-HICOM 2.45 juta, PLUS Berhad RM2.60 juta, Northport (Malaysia) Berhad RM1.64 juta, Maybank Islamic Berhad RM1.60 juta, Kumpulan Etiqa Takaful RM1.50 juta, Kumpulan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Edgenta Infrastructure Services Sdn Bhd, masing-masing berjumlah RM1 juta.
Individu korporat, Datuk Kamarudin Meranun pula menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM5.07 juta.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.
Menurut Mohd Khaidzir, kutipan zakat itu memberi manfaat terus kepada lebih 350,000 penerima zakat di Selangor melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan sosio ekonomi.
"Kami amat menghargai komitmen syarikat korporat dan individu yang terus memilih LZS sebagai saluran utama pembayaran zakat.
"Sumbangan ini akan dimanfaatkan bagi memperkukuh agenda pembangunan asnaf sekali gus menyokong kesejahteraan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, LZS menyatakan penghargaan kepada pihak korporat dan individu yang menunaikan zakat sekali gus dapat memperkasa program asnaf serta memberi manfaat kepada masyarakat di Selangor.