SHAH ALAM - Platform yang mengendalikan bantuan kebajikan untuk jutaan rakyat perlu menjalani ujian berskala besar menggunakan data sebenar bagi memastikan keupayaannya menangani lonjakan trafik dan permintaan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Kebangsaan dan Penyelidikan Kesejahteraan Rakyat MCA, Datuk Dr Monna Ong Siew Siew berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan gangguan kegagalan Sistem MyKasih dalam tuntutan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berulang ketika pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang bakal diperkenalkan.
Menurutnya, penyedia teknologi juga harus sentiasa menaik taraf pelayan, pangkalan data dan rangkaian secara berkala mengikut piawaian industri.
“Kapasiti sistem sedia ada mesti diperkukuhkan. Tanpa tindakan ini, sebarang pelaksanaan besar-besaran akan terus terdedah kepada risiko kegagalan teknikal.
“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan mekanisme sandaran yang kukuh. Sekiranya sistem utama gagal, alternatif mesti tersedia dengan segera.
“Ini termasuk penyediaan saluran dalam talian sekunder, kaedah pengesahan manual sementara, atau pelaksanaan kerjasama dengan institusi kewangan untuk mengelakkan bantuan terputus sepenuhnya kepada penerima. Sandaran ini penting agar rakyat tidak menjadi mangsa keadaan semasa gangguan berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan sistem kawalan bagi menangani isu ketirisan minyak masak paket bersubsidi, termasuk pembelian oleh warga asing.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sistem tersebut kini dalam fasa ujian sebelum dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.
Tambah Ong Siew Siew, komunikasi dengan rakyat juga harus dipertingkatkan. Sebarang gangguan dalam sistem mesti disampaikan dengan segera dan telus melalui saluran rasmi seperti SMS, media sosial, laman web kerajaan serta kenyataan media yang boleh dipercayai.
“Komunikasi yang berkesan mampu mengurangkan panik dan kekeliruan serta memberi keyakinan kepada rakyat bahawa keadaan berada dalam kawalan.
“Dalam pada itu, kerajaan wajar menerbitkan laporan pasca insiden secara terbuka. Penjelasan mengenai punca kegagalan, langkah pembetulan yang telah diambil dan pelan pencegahan masa depan perlu dikongsikan secara telus.
“Tindakan ini penting untuk membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem dan memastikan akauntabiliti dalam pelaksanaan dasar,” katanya.
Menurutnya, apa yang paling penting ialah rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan uji kaji setiap kali dasar baharu diperkenalkan.
Ujarnya, program kebajikan seharusnya menjadi jalan untuk meringankan beban hidup rakyat, bukan menambah kesulitan akibat kelemahan pelaksanaan dan tadbir urus yang longgar.
“Ketika kos sara hidup semakin meningkat, rakyat berhak mendapat sistem yang berfungsi dengan cekap, adil dan bertanggungjawab,” katanya.