Anggota TUDM ditemui di rumah teman wanita, hilangkan diri kerana takut - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan anggota TUDM terbabit.

SERDANG - Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang sejak 24 Ogos lalu ditemui di sebuah kondominium di Ampang Jaya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, Laskar Udara Kanan, Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, ditemui pada jam 1.30 petang.

Iklan
Iklan

"Anggota terbabit yang juga individu yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui bersama teman wanitanya dan unit kediaman itu adalah milik wanita terbabit.

"Dia ditemui oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, yang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima," katanya kepada media pada Rabu.

Iklan

Muhammad Farid berkata, anggota terbabit berada di kediaman itu sejak 23 Ogos lalu.

"Dia memberi alasan takut kerana anggota terbabit langgar lari kereta seorang pegawai tentera," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pada masa ini pihak polis sedang berusaha mendapatkan butiran lanjut daripada Muhammad Ammar, mengenai kehilangannya sebelum ini.

"Sehubungan penemuan ini, Polis Daerah Serdang, berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan maklumat bagi membantu usaha-usaha mengesan keberadaan Muhammad Ammar," katanya.

Muhammad Ammar dilaporkan hilang selepas menyertai Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT) TUDM Bandar Kinrara, dibenarkan pulang bersama peserta lain pada 22 Ogos lalu.

Semua peserta kursus diarahkan melapor diri semula pada 25 Ogos lalu namun dia gagal berbuat demikian sebelum satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyelia kursus pada hari sama.

Berdasarkan siasatan polis sebelum ini, Muhammad Ammar yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dekat sini, kali terakhir dilihat berada di Sungai Kedondong pada 23 Ogos kira-kira jam 4.30 petang.

Pada 24 Ogos kira-kira jam 6 petang, rakan sebilik kursus cuba menghubunginya namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan.