IPOH - Seramai 56 pegawai dan anggota daripada pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menamatkan Kursus Counter Terrorist Team (CTT) dan Kursus Sniper 69 Komando siri 1/2025 pada Rabu.
Kursus yang berlangsung lebih dua bulan itu melatih peserta dengan kepakaran Counter Urban Terrorist Operation serta Fighting in Built-Up Area (FIBUA).
Peserta turut didedahkan dengan seni peperangan moden meliputi kemahiran menembak, serbuan taktikal, operasi tempur jarak dekat dan simulasi krisis keselamatan ekstrem.
Selain 69 Komando, kursus tersebut turut melibatkan penyertaan Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan menamatkan kursus itu merupakan amanah besar untuk terus kekal cemerlang dalam mempertahankan keselamatan negara.
“Kedua-dua kursus ini bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal malah menguji kesabaran, disiplin, ketajaman mental serta daya tahan emosi yang cekal.
“Majlis hari ini bukan sekadar acara penutupan latihan tetapi juga simbolik pencapaian, pengorbanan dan kecekalan para wira negara yang berjuang demi kedaulatan tanah air,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kursus CTT dan Kursus Sniper 69 Komando di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi), Datuk Fisol Salleh; Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Kamaruzaman Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Perak, Mohammad Azlin Sadari.
Pada majlis itu, beliau turut menerima Penganugerahan Beret Kehormat 69 Komando dan Sayap Penerjunan Kehormat.
Mohd Khalid berkata, kebersamaan pasukan ATM kali ini membuktikan semangat integrasi dan solidariti kukuh antara agensi keselamatan utama negara.
“Diharapkan platform strategik seumpama ini dapat menyatukan doktrin, taktikal dan kefahaman pasukan khas keselamatan di bawah Jawatankuasa Kerja Latihan (JKKL) PDRM dan ATM.
“Program ini adalah kunci perpaduan PDRM dan ATM dalam menghadapi ancaman asimetrik dan ekstrem,” katanya.
Sementara itu, Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim berkata, kursus itu merupakan fasa lanjutan bagi mereka yang telah ditauliahkan sebagai Infantri Komando.
“Selepas ini para peserta akan ke fasa seterusnya iaitu Sea Combat (SECOM) yang menekankan penguasaan operasi pertempuran aras dan bawah permukaan air dan seterusnya Kursus Taktikal Payung Terjun.
“Sepanjang proses ini, mereka didedahkan dengan pelbagai bentuk ancaman kontemporari dengan kemahiran hantaran melalui darat, laut dan udara, untuk melahirkan Infantri Komando yang versatil serta menjadikan unit ini sebuah unit multispektrum,” katanya.