SEREMBAN – Beberapa jalan utama sekitar bandar raya Seremban akan ditutup dan dilencongkan sempena sambutan Maulidur Rasul di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Jalan Yam Tuan pada Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, penutupan jalan itu akan dilakukan pada Khamis bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi bagi tujuan raptai manakala pada Jumaat dari jam 6.30 pagi hingga 12 tengah hari semasa acara sambutan berlangsung.
Menurutnya, peserta perarakan akan melalui Jalan Kuil, Jalan Yam Tuan, Jalan Dato A.S. Dawood, Jalan Taman Bunga dan Jalan Dato Hamzah.
“Lima jalan akan ditutup bagi tujuan itu iaitu Jalan Yam Tuan, Jalan Lim Kee Siong/Lorong Jawa/Lorong Khalsa, Jalan Dato Sheikh Ahmad, Jalan Dato A.S. Dawood dan Jalan Dato Hamzah.
“Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Dato Bandar Tunggal, Jalan Tunku Munawir, Jalan Dato Lee Fong Yee, Jalan Tunku Hassan, Jalan Dato Abdul Malek, Jalan Dato Abdul Kadir, Jalan Keliling dan Jalan Leftenan Adnan sepanjang tempoh penutupan jalan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengelakkan laluan yang terlibat sepanjang tempoh penutupan, selain disarankan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas.
Sebarang pertanyaan berkaitan perkara ini boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033477 atau 06-6014999.