Kerajaan umum penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli

Iklan
Statistik terkini menunjukkan lonjakan kes buli yang amat membimbangkan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azalina)

SHAH ALAM – Kerajaan bersepakat menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam satu kenyataan media, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas itu dilaksanakan bagi menyelaras tindakan holistik dan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian serta agensi, susulan mandat Jemaah Menteri pada 29 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Tambah BHEUU, penubuhan jawatankuasa itu diumumkan selepas Mesyuarat Mengenai Usaha-usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Kuala Lumpur yang diadakan pada Selasa, anjuran pihak mereka.

"Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina di Asian International Arbitration Centre (AIAC) itu menghimpunkan pegawai kanan daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Iklan

"Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli bakal menjadi platform utama untuk menyelaras tindakan rentas kementerian, sekali gus memastikan isu buli dapat ditangani sebagai cabaran nasional yang memerlukan kerjasama menyeluruh," kata BHEUU pada Selasa.

Mengulas lanjut, BHEUU menegaskan bahawa pendekatan kerajaan bukan lagi berfokus kepada hukuman semata-mata, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek pemulihan, perlindungan kanak-kanak dan langkah pencegahan.

Iklan

Tambah jabatan itu, kerajaan mahu memastikan setiap pelan tindakan yang digubal bersifat realistik, inklusif dan berpandangan jauh.

"Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan, memberi keutamaan terhadap pelaku yang masih berstatus kanak-kanak atau remaja mengikut prinsip Akta Kanak-Kanak 2001, selain memastikan pendekatan 'whole-of-government' dilaksanakan secara menyeluruh," kata jabatan itu lagi.

Menurut BHEUU, pendekatan menyeluruh itu akan melibatkan pelaksanaan langkah pencegahan di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, komuniti setempat serta ruang maya.

"Isu buli kini sudah memberi kesan mendalam kepada mangsa dan masyarakat secara keseluruhan.

"Sehubungan itu, jawatankuasa khas ini menjadi permulaan penting dalam merangka mekanisme pencegahan yang mantap, adil dan berkesan," menurut kenyataan itu.

BHEUU turut menegaskan komitmen penuh untuk memastikan hasil perbincangan diterjemahkan kepada tindakan praktikal dengan kerjasama erat seluruh kementerian dan pihak berkepentingan, sejajar aspirasi Malaysia Madani.