Terengganu sokong penuh misi Sumud Nusantara ke Gaza

Iklan
Sebahagian peserta misi Sumud Nusantara merakam gambar di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol bagi menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza. Foto: Sumud Nusantara Official (Gambar kecil: Ahmad Samsuri (kiri), Muhammad Khalil)

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menzahirkan sokongan penuh terhadap pasukan Sumud Nusantara yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), iaitu misi maritim terbesar yang menghimpunkan sukarelawan dari 44 negara bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Sumud Nusantara membawa mesej solidariti umat Asia Tenggara khususnya dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.

Iklan
Iklan

"Sumud bermaksud teguh dan tabah walau ditekan. Itulah semangat rakyat Palestin yang kini dikongsi bersama dalam gerakan Sumud Nusantara.

"Ia bukan sekadar emosi, tetapi berlandaskan pendidikan, diplomasi masyarakat dan jaringan antarabangsa," katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam gerakan itu dengan penyertaan ramai anak muda yang pernah turun sebagai sukarelawan lapangan di Gaza, kem pelarian di Jordan, Syria dan Lubnan, selain istiqamah menggerakkan kutipan dana di masjid, sekolah dan kampus.

"Bagi misi kali ini, dua kumpulan delegasi Malaysia berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos dan dari Catania, Itali pada 4 September.

Iklan

"Ia melibatkan aktivis, artis tempatan, pempengaruh, badan bukan kerajaan (NGO) serta anak-anak Terengganu," katanya.

Sementara itu, Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pasukan tersebut bukan sekadar membawa bantuan makanan, ubatan dan keperluan asas, malah menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia, khususnya Terengganu, berdiri teguh bersama Palestin.

"Kerajaan Negeri mendoakan agar seluruh peserta Sumud Nusantara dipermudahkan perjalanan, dilindungi ALLAH SWT dan diberikan kekuatan untuk menunaikan tanggungjawab mulia ini," katanya menerusi hantaran pada Selasa.

Beliau turut berharap agar rakyat Terengganu terus berdoa dan menyokong mengikut kemampuan masing-masing terhadap misi penuh cabaran yang bertujuan memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan.

"Keberanian mereka menjadi inspirasi kepada generasi muda agar terus peka terhadap isu kemanusiaan sejagat," ujarnya.

Pada Isnin, sebanyak 24 kapal flotila disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol ke Gaza demi membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas.

Sekretariat Sumud Nusantara dalam kenyataan memaklumkan delegasi Malaysia, yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama rakan-rakan NGO menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) yang menuntut pembukaan laluan bantuan serta penghentian segera serangan ke atas Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia merangkap Chef de Mission Malaysia, Datuk Sani Araby berkata, penyertaan Malaysia menzahirkan sokongan nyata terhadap perjuangan kemanusiaan.