Lelaki ditahan lepaskan tembakan ketika upacara sembahyang

Iklan
Polis menahan seorang lelaki selepas tindakannya melepaskan beberapa das tembakan ke udara ketika upacara sembahyang di sebuah kuil di Ladang Bukit Badong, Bestari Jaya, pada Isnin. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azaharudin)

KUALA SELANGOR - Polis menahan seorang lelaki selepas tindakannya melepaskan beberapa das tembakan ke udara ketika upacara sembahyang di sebuah kuil di Ladang Bukit Badong, Bestari Jaya, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di Petaling Jaya pada jam 8 malam.

Iklan
Iklan

“Suspek berusia 55 tahun kini direman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang Isnin selepas satu rakaman video memaparkan insiden tersebut tular di media sosial.

Iklan

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu sekitar jam 11.30 pagi ketika berlangsungnya upacara sembahyang tahunan di kuil berkenaan,” jelasnya.

Azaharudin berkata, polis masih meneruskan siasatan dan meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat.

Iklan

“Orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berhampiran,” tegasnya.