Bakar tisu di pasar raya, pencuci kereta dipenjara 12 tahun

Iklan
Seorang pencuci kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah membakar bungkusan tisu dalam dua kejadian berasingan di dua pasar raya pada bulan lepas. Gambar hiasan

KUCHING - Seorang pencuci kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar bungkusan tisu dalam dua kejadian berasingan di dua pasar raya, di sini pada bulan lepas.

Hakim, Musli Abdul Hamid menjatuhi Rizam Zawawi, 33, hukuman penjara lima tahun dan tujuh tahun, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Ogos lepas.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan membakar tisu sehingga menyebabkan kerugian RM3,000 di sebuah pasar raya di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa, di sini pada jam 3 petang, 17 Ogos lepas.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah pasar raya di Batu Kawa, di sini pada jam 8 malam, 21 Ogos lepas, menyebabkan kerugian RM1,072.60.

Iklan

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan yang boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ruvinasini Pandian dan Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Menurut fakta kes, modus operandi tertuduh adalah dengan membakar tisu dan lampin pakai buang di premis berkenaan bagi mengalih perhatian pekerja dalam cubaan untuk mencuri barangan lain.

Di sebuah premis, dia berjaya melarikan sekotak minuman berkarbonat dan perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanannya. - Bernama