IPOH - Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa kerana pasar mini syarikat tersebut menjual minyak masak botol melebihi harga ditetapkan.
Tertuduh, J Shanker, 43, sebagai Pengarah Syarikat Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd dituduh melakukan perbuatan tersebut di No 1 dan 3, Jalan Klebang Ria 3, Taman Klebang Ria, Chemor di sini jam 12.30 petang pada 17 April 2024.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal iaitu minyak masak botol 2 kg selain mengikut harga yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Seksyen 4, 5 atau 7 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (b) Akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada 17 April 2024, sepasukan Penolong Pegawai Bekalan Malaysia dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah membuat pemeriksaan ke atas pasar mini berkenaan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati premis perniagaan tersebut telah menjual minyak masak botol 2 kg pada harga RM13.90 iaitu selain daripada harga yang telah ditentukan oleh Pengawal.
Tertuduh yang faham pertuduhan dibacakan kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian menetapkan hukuman denda RM5,000 dengan seorang penjamin atau penjara selama lima hari jika tidak bayar denda manakala hasil jualan minyak masak tersebut sebanyak RM485.85 sen dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Perak, N Shamani manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.