MELAKA - Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus membawa sinar kegembiraan kepada rakyat apabila ada keluarga yang bukan sahaja ibu bapa menerima bantuan itu, malah anak-anak mereka turut tersenarai sebagai penerima.
Seorang peniaga warung makan di Kampung Rim, Jasin, Siti Farah Othman, 58, berkata, dia bersyukur kerana keprihatinan kerajaan bukan sahaja membantu dirinya, malah turut merangkumi dua daripada tiga orang anaknya yang sudah berkeluarga.
“Alhamdulillah, bantuan ini dapat meringankan beban, bukan saya dan suami sahaja malah anak-anak saya yang telah berkeluarga turut menerima.
"Cuma anak sulung saya membuat semakan dia belum mendapat bantuan itu,dan harap dia juga tidak keciciran mendapat manfaat RM100 itu," katanya.
Tambahnya, sekurang-kurangnya, hasil bantuan ini, dapat membeli barangan dapur memandangkan kos yang semakin meningkat.
Bagi pembantu kedai, Sharifah Sam, 58, yang menetap di Kemendor berkata, pengagihan ini memberi kelegaan besar kepada golongan berpendapatan rendah sepertinya lebih-lebih lagi suaminya hanya pekerja kilang.
Menurutnya, walaupun sekarang hanya seorang daripada empat anaknya yang tinggal bersama, namun kesemua anaknya yang tinggal berasingan juga dapat menikmati bantuan ini termasuk anak bongsunya berusia 20 tahun dan baru menamatkan pengajian di matrikulasi.
"Baguslah kerajaan turut mempertimbangkan beban isi rumah dan bukan satu keluarga seorang yang dapat tapi ramai.
"Macam anak saya bantuan ini dapat dia gunakan untuk membeli keperluan untuk kemasukan ke institut pengajian tinggi kelak," katanya.
Program SARA RM100 yang bermula hari ini membolehkan lebih 20 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menebus bantuan one-off tersebut di pasar raya dan kedai rakan niaga seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.