Pewartaan pemecatan Mubarak, Maarof didakwa tidak sah, dikeluarkan tanpa kelulusan MMKN

Iklan
Kenyataan bersama dikeluarkan Tunku Nadzaruddin bersama Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan serta Tunku Besar Tampin.

SEREMBAN - Pewartaan pemecatan Datuk Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Datuk Maarof Mat Rashad sebagai Undang Luak Jelebu oleh kerajaan Negeri Sembilan didakwa tidak sah.

Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar bersama Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan, serta Tunku Besar Tampin menerusi kenyataan media bersama turut mendakwa bahawa warta tersebut dikeluarkan tanpa kelulusan yang sah daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN).

Iklan
Iklan

"Bahawasanya kami menegaskan warta tersebut adalah tidak sah, tiada kesan undang-undang dan bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta dibuat untuk mengelirukan masyarakat.

"Kami percaya warta tersebut juga telah dikeluarkan tanpa kelulusan yang sah daripada MMKN yang merupakan badan sah eksekutif negeri selaras Perkara 35 dan Perkara 40 UUTKNS 1959," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin mengesahkan pewartaan pemecatan Mubarak dan Maarof adalah sah.

Beliau turut mengesahkan pewartaan pemecatan Datuk Badarudin Abdul Khalid sebagai Dato' Shahbandar Sungei Ujong, selain turut mengiktiraf pemasyuharan Datuk Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong baharu dan Datuk Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau baharu.

Iklan

Dalam kenyataan itu lagi, mereka memaklumkan bahawa warta terbabit tidak boleh memulihkan dan memuktamadkan sebarang keputusan yang bertentangan dengan UUTKNS 1959 serta cacat dari segi adat.

Malah ujar mereka, selepas 17 April 2026, tiada sebarang sidang Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) yang sah dan menepati syarat kuorum di bawah Perkara 20 UUTKNS 1959 dapat dibuat.

"Hal ini juga berikutan oleh injunksi ad-interim Mahkamah Tinggi Seremban yang menghalang ahli-ahli asal dan sah DKU menurut Perkara 17 UUTKNS 1959 untuk mengadakan atau menghadiri sebarang sidang DKU.

"Ahli DKU yang sah iaitu Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Abdul Rahim Yasin dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Badarudin Abdul Khalid," kata mereka.

Mereka turut memaklumkan bahawa menurut Perkara 20 UUTKNS 1959, sebarang keputusan dan nasihat tidak boleh dibuat oleh DKU selain penangguhan apabila kuorum sidang tidak mencukupi.

Kenyataan itu berkata, bagi membolehkan sidang berjalan dan membuat keputusan sah menurut Perkara 16(3) UUTKNS 1959, kuorum yang bersidang hendaklah sekurang-kurangnya seramai empat orang tidak termasuk pengerusi.

"Oleh itu, bilangan ahli tetap yang perlu bersidang termasuk pengerusi adalah sekurang-kurangnya lima orang.

"Maka sidang DKU pada 31 Julai 2026 adalah tidak memenuhi kuorum kerana hanya Tunku Besar Seri Menanti yang merupakan ahli tetap yang sah hadir pada sidang tersebut dan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pula dipertikaikan kerana telah diturunkan oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026," kata mereka.

Justeru, mereka berkata, tiada sebarang keputusan dan nasihat sah berkenaan kedudukan mana-mana Undang Luak dapat diputuskan dalam sidang tersebut.

Malah tegas mereka lagi, tindakan mengadakan sidang DKU bertarikh 31 Julai 2026 secara nyata melanggar perintah injunksi ad-interim bertarikh 5 Jun 2026 yang menghalang sebarang sidang DKU dibuat sehingga pelupusan permohonan di Mahkamah Tinggi Seremban.

"Tindakan Tuanku Muhriz mengarahkan mantan Setiausaha DKU untuk mewartakan keputusan dan nasihat tidak berperlembagaan sidang DKU bertarikh 31 Julai 2026 adalah tidak sah kerana Tuanku Muhriz telah sempurna diturunkan takhta dan tidak boleh lagi menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Besar sejak 15 September 2026 selaras dengan pengumuman rasmi MMKN.

"Raja Norazli Raja Nordin pula telah pun ditamatkan perkhidmatan sebagai Setiausaha DKU pada 17 September 2026 oleh Tuanku Nadzaruddin," katanya.

Tambah mereka, kedua-dua pihak tersebut tidak mempunyai 'locus standi' untuk mengarahkan atau melaksanakan sebarang pewartaan berkenaan hal ehwal DKU.

Mereka memaklumkan, Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tiada nasihat DKU yang sah menurut Perkara 16(3) UUTKNS 1959 yang mengabsahkan sebarang pemecatan Undang Luak yang asal dan pelantikan Undang Luak baharu memenuhi kehendak UUTKNS 1959 yang telah dicapai.

"Oleh yang demikian, status quo Undang Luak adalah kekal sebagaimana sebelum 17 April 2026," kata kenyataan itu.