ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencederakan seorang pengawal keselamatan warga Nepal di sebuah pangsapuri di kawasan Gelang Patah di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri berkata, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa pada jam 2.59 petang pada hari sama.
Katanya, laporan mangsa mendedahkan kejadian berlaku ketika dirinya menahan suspek di lorong pelawat di sebuah pangsapuri kerana didapati tidak memiliki kad akses untuk memasuki kediaman tersebut.
“Akibat tidak berpuas hati, suspek kemudiannya bertindak mengambil seketul bata lalu mengetuk kepala mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
“Susulan itu polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri telah membuat tangkapan ke atas seorang suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 37 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
M Kumarasan berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif.
Suspek kini ditahan reman mulai Isnin hingga Khamis di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut, tambahnya.
“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
“Suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan,” katanya.