KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penunggang motosikal dipercayai warga asing yang melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta dalam kemalangan di ibu kota baru-baru ini mengundang padah apabila dikesan pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun pada 30 Ogos lalu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam pada 29 Ogos di simpang empat lampu isyarat Jalan Kuchai Lama apabila motosikal terbabit melanggar bahagian hadapan kereta milik mangsa.
“Semakan awal mendapati motosikal itu berdaftar atas nama seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun.
“Namun, sehingga kini tiada sebarang laporan dibuat oleh pemilik motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan pemilik motosikal tersebut bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang individu bertindak melarikan diri dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta di ibu kota baru-baru ini.