SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pihak keselamatan mengambil tindakan segera secara teliti dan menyeluruh berhubung insiden seorang wanita menceroboh pentas utama semasa Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak pada Ahad.
Beliau menyifatkan insiden yang berlaku ketika Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berada di pentas utama sebagai sesuatu yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, segala kelemahan dalam aspek kawalan keselamatan mestilah diperbaiki dengan kadar segera supaya kejadian sama tidak berulang.
"Saya melahirkan rasa dukacita di atas kejadian tersebut kerana ia amat tidak wajar.
"Perkara sebegini tidak boleh dipandang ringan sama sekali memandangkan institusi diraja adalah tonggak kedaulatan negara dan merupakan payung kepada rakyat jelata," ujarnya
Pada Ahad, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas cuba mendekati Sultan Nazrin ketika baginda berada di pentas utama semasa lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, wanita itu memasuki pentas melalui bahagian tepi kira-kira jam 8.20 pagi sebelum dihampiri dan ditahan anggota keselamatan yang bertugas.
Dalam pada itu, Hamzah turut mendoakan kesejahteraan Sultan Nazrin dan seisi keluarga Diraja serta seluruh Raja-Raja Melayu.
“Semoga Seri Paduka sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT dan dikurniakan kesejahteraan berpanjangan,” katanya.