Aksi penerjunan PASKAL curi tumpuan 40,000 rakyat Kedah

Iklan
Penerjunan dimulakan Pegawai Waran 1 PASKAL, Mohd Kamil Mustafa membawa Jalur Gemilang dan mendarat di hadapan pentas utama Dataran Medan Bandar.

ALOR SETAR – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Kedah di Dataran Medan Bandar dikejutkan dengan penampilan istimewa aksi penerjunan bebas oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Empat anggota PASKAL melakukan penerjunan dari pesawat Fennec milik Skuadron 502, Markas Udara TLDM pada ketinggian 4,000 kaki sekali gus memukau lebih 40,000 pengunjung yang hadir.

Iklan
Iklan

Pertunjukan itu merupakan julung kali diadakan di Kedah sempena sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad.

Sultan Sallehuddin berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Batalion dengan kekuatan 106 pegawai dan anggota.

Iklan

Penerjunan dimulakan oleh Pegawai Waran 1 PASKAL, Mohd Kamil Mustafa yang membawa Jalur Gemilang, diikuti Pegawai Waran 2, Khairil Azhar Hashim, anak jati Sungai Petani, yang membawa bendera Kedah.

Penerjun ketiga, Leftenan Mohd Azhar Kamarudin dari Alor Janggus pula membawa bendera TLDM, manakala Laskar Kanan PASKAL, Muhamad Rohaizat Khayri membawa bendera PASKAL.

Iklan

Aksi tersebut dibantu juruterbang Lt Kdr Mohd Asyraff Ibrahim dan Lt Mohamad Taufik Mokhtar.

Antara kontinjen perbarisan yang mencuri tumpuan hadirin.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menyaksikan istiadat perbarisan dan perarakan berprestij itu.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sultan Sallehuddin turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Batalion dengan kekuatan 106 pegawai dan anggota.

Kawalan Kehormatan Utama diketuai Mejar Mohd Afiq Ismail, bersama Pegawai Panji-Panji Batalion, Leftenan Mohamad Aiman Hanif Samsudin dan Sarjan Mejar Rejimen Kawalan selaku Pegawai Waran 1, Hermi Bakry.

Pancaragam pengiring terdiri daripada gabungan Batalion Kedua dan Batalion Keenam RAMD.

Perarakan Hari Kebangsaan kali ini disertai lebih 3,900 peserta melibatkan 119 kontinjen daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri, Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, swasta, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan, kelab serta sekolah.

Perarakan sempena hari bersejarah itu turut disertai kontinjen Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.

Turut mencuri tumpuan ialah perarakan oleh kontinjen kelab motosikal, basikal klasik dan Vespa klasik yang tampil dengan gaya tersendiri.

Orang ramai tidak berganjak seawal 7 pagi sehingga berakhirnya istiadat perbarisan dan perarakan yang menampilkan pelbagai persembahan menarik.

Acara turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu patriotik oleh koir Jabatan Pendidikan Negeri Kedah serta persembahan warna-warni komponen perpaduan oleh pelajar sekolah.

Ruang udara turut digegarkan dengan lintas hormat dua pesawat EC 120B dari Institut Penerbangan (INSPEN 2) dan pertunjukan udara membabitkan lima pesawat PC-7 MkII dari INSPEN 1.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan pameran aset ketenteraan RAMD di lokasi sama yang melibatkan dua kenderaan perisai amfibia Gempita serta tiga kenderaan sokongan pelbagai fungsi termasuk GK MK II (6 Skuadron Semboyan Briged), Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) dan Kenderaan Pembawa Mortar (KPM).

Sambutan meriah itu membuktikan semangat patriotisme rakyat Kedah terus mekar dalam meraikan kemerdekaan negara.