Warga emas sanggup datang jam 3 pagi demi rai sambutan Merdeka

Iklan
Junaidah dan Md Nor datang seawal jam 3 pagi ke Padang Majlis Bandaraya Seremban untuk menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan.

SEREMBAN – Semangat patriotisme sepasang suami isteri warga emas jelas terserlah apabila mereka sanggup datang seawal jam 3 pagi ke Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini semata-mata untuk menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan.

Md Nor Bachik, 72, yang merupakan pesara kerajaan bersama isterinya, Junaidah Abdul Rahman, 70, serta dua anak mereka membuat keputusan datang lebih awal kerana mahu mendapatkan tempat duduk yang lebih selesa tanpa perlu berebut dengan orang ramai.

Iklan
Iklan

Menurut Junaidah, kesanggupannya bersusah payah sedemikian kerana tidak mahu ketinggalan meraikan hari bersejarah negara, selain sebagai tanda penghargaan terhadap jasa pejuang kemerdekaan terdahulu.

"Setiap tahun saya dan keluarga akan datang ke sini meraikan sambutan Hari Kebangsaan kerana bagi saya, ia satu suasana yang menyeronokkan.

Iklan

"Kali ini kami datang lebih awal iaitu jam 3 pagi kerana bimbang tidak mendapat tempat duduk. Lagipun saya dah tua, susah kalau terpaksa berdiri atau berjalan jauh,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Kongsinya lagi, keterujaannya menyambut Hari Kebangsaan semakin memuncak apabila melihat pelbagai kaum berkumpul meraikannya tanpa sebarang jurang perbezaan.

Iklan

Tambahnya, dia mudah tersentuh apabila mendengar lagu-lagu patriotik yang sekali gus membangkitkan rasa cinta terhadap negara.

“Saya seronok tengok pelbagai kaum berkumpul meraikan Hari Kebangsaan. Suasananya memang berbeza, meriah dan penuh bersemangat.

“Ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, saya baru berusia dua tahun. Hidup kami waktu itu sangat susah kerana tinggal di kawasan estet dan disebabkan itu saya benar-benar menghargai kemerdekaan serta mahu anak-anak juga menjiwainya,” katanya.

Junaidah turut mengingatkan generasi hari ini agar bersyukur dan menjaga keamanan yang dimiliki agar ia kekal sampai bila-bila.

Penjawat awam, Nurul Hafizah Rusman, 40, pula meraikan Hari Kebangsaan dengan cara berbeza apabila sanggup menempah pakaian sedondon untuk dipakai seisi keluarga setiap kali tiba 31 Ogos.

Nurul Hafizah memakai pakaian sedondon dengan anak-anaknya ketika hadir menyaksikan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan di Padang Majlis Bandaraya Seremban

"Dah jadi rutin buat saya dan suami setiap kali 31 Ogos untuk pakai baju sedondon yang ditempah khas bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan.

"Anak-anak pun teruja dan tidak kisah untuk bangun lebih awal, bersiap-siap pergi menyambutnya," katanya.

Tambahnya, dia dan suami tidak pernah ketinggalan meraikan Hari Kebangsaan kerana mahu menanam semangat cintakan negara dalam diri anak-anak sejak kecil.