REMBAU – Seramai 54 warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Rembau berjaya menawan puncak Gunung Datuk setinggi 884 meter dalam program Kibar For Merdeka yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan JKR Daerah Rembau itu turut disertai wakil daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd.
Wakil penganjur, Wan Mohamad Syafiq berkata, pendakian mengambil masa hampir dua jam melalui trek sejauh 2.8 kilometer bermula pada jam 8.30 pagi selepas sesi pemanas badan dan taklimat keselamatan oleh renjer Jabatan Perhutanan.
“Objektif utama program ini adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Datuk.
“Selain aktiviti pendakian, program turut diserikan dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu aktiviti kutipan sampah sepanjang laluan pendakian.
“Sebanyak 10.46 kilogram sampah berjaya dikutip dan peserta yang mengumpul sampah terbanyak turut menerima hadiah penghargaan daripada pihak penganjur,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, program itu bukan sahaja mencetus semangat cintakan negara, malah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
“Diharap program sebegini dapat diteruskan sebagai platform membentuk masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar dan cintakan negara,” katanya.