IPOH – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita ditahan selepas bertindak naik ke pentas utama mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 di sini pagi Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.
Menurutnya, suspek warga tempatan berusia 41 tahun naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
"Wanita itu berjaya ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.
"Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif," katanya dalam kenyataan di sini.
Noor Hisam berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Beliau turut memberi amaran tegas agar orang ramai menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pemimpin dan orang kenamaan.
Insiden berlangsung sekitar 40 saat itu membuatkan pengunjung yang hadir terkejut dan terpinga-pinga.
Wanita memakai kemeja dan seluar hitam tersebut pada awalnya berdiri di barisan belakang di pentas utama sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri.
Dia kemudiannya dilihat menarik serta cuba memeluk baginda dari arah belakang.
Terdapat sebahagian pengunjung yang hadir menganggap bahawa insiden tersebut sebagai satu gimik persembahan, namun menyedari ia kejadian sebenar.