Ujian besar kredibiliti Prabowo

Iklan
Prabowo (kiri) melawat rumah keluarga Affan Kurniawan, pemandu ojek berusia 21 tahun yang terbunuh akibat dirempuh kenderaan polis semasa huru-hara demonstrasi di Jakarta. (Gambar kecil: Hussain Yusri)

SHAH ALAM - Insiden tunjuk perasaan bertukar ganas melanda Indonesia ketika ini menjadi ujian besar terhadap kestabilan politik negara jiran itu dan kredibiliti Presiden Prabowo Subianto yang baru memasuki tahun pertama pemerintahannya.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa di Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, populariti Prabowo sebelum ini melonjak tinggi berkat pelaksanaan program makanan percuma dan dasar mesra rakyat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, krisis semasa menggabungkan isu sensitif iaitu kematian seorang anak muda, persepsi kemewahan elit politik serta keganasan polis merencatkan imej beliau yang mengambil alih pentadbiran negara pada Oktober 2024 daripada Jokowi.

“Ketiga-tiga faktor ini boleh mencetuskan kemerosotan kepercayaan rakyat jika tidak diurus dengan baik. Kesan awal sudah pun jelas apabila nilai rupiah dan pasaran saham Indonesia merosot akibat kebimbangan pelabur terhadap ketidakstabilan politik.

Iklan

“Jika kerajaan gagal memberikan jawapan yang telus dan meyakinkan, ia boleh menjejaskan keupayaan Presiden Prabowo untuk mengekalkan sokongan rakyat serta merencatkan agenda ekonomi dan sosial yang sedang digerakkan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Hussain Yusri berkata, peluang untuk Prabowo memulihkan keadaan masih terbuka sekiranya beliau mengarahkan siasatan bebas yang telus, mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku terlibat serta memastikan komunikasi kerajaan dengan rakyat bersifat konsisten dan berfakta.

Iklan

Ujarnya, jika langkah ini berjaya, krisis yang berlaku mungkin dapat ditukar menjadi bukti komitmen beliau terhadap tadbir urus baik.

Ditanya kemungkinan sentimen yang berlaku di negara jiran itu boleh merebak ke Malaysia, beliau berkata, peluang tersebut sangat rendah.

Ini kerana katanya, Malaysia mempunyai persekitaran politik dan kerangka undang-undang yang berbeza dengan negara jiran tersebut termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membolehkan rakyat berhimpun secara lebih teratur.

“Namun begitu, kemungkinan tercetusnya solidariti berbentuk perhimpunan kecil atau sokongan simbolik tetap wujud, terutama melalui saluran media sosial yang mampu mempercepat penyebaran sentimen serantau,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai pendekatan yang boleh diambil negara untuk memastikan tunjuk perasaan itu tidak merebak, beliau berkata, Malaysia mempunyai kerangka undang-undang cukup jelas untuk mengawal perhimpunan awam dan mengekang penularan protes ganas.

“Pendekatan undang-undang ini perlu digabungkan dengan pelaksanaan yang telus dan adil. Pihak polis, sebagai agensi utama penguatkuasaan wajar memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil berlandaskan prinsip keperluan dan kesederhanaan.

“Ini penting supaya hak rakyat untuk berhimpun tidak dinafikan, tetapi pada masa yang sama ketenteraman awam tetap terpelihara,” katanya.