PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menegaskan fokus kini terarah sepenuhnya kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas skuad kendaliannya disingkirkan dari Piala Liga baru-baru ini.
United sebelum ini menerima sokongan besar daripada pengurusan kelab yang melabur kira-kira £200 juta (RM1.1 bilion) bagi membawa masuk tiga penyerang baharu Matheus Cunha, Bryan Mbuemo dan Benjamin Sesko dalam usaha memperkukuh cabaran musim ini.
Namun, pelaburan besar itu masih belum diterjemahkan kepada kemenangan apabila Red Devils tewas 0-1 kepada Arsenal pada aksi pembukaan sebelum diikat 1-1 oleh Fulham seterusnya akan menanti kunjungan Burnley.
Amorim mengakui persembahan pasukan agak mengecewakan, khususnya ketika menentang Grimsby Town dalam saingan Piala Liga tetapi menegaskan pemain harus segera bangkit menghadapi cabaran baharu.
“Kami melalui pramusim yang baik dan corak permainan lebih konsisten. Tetapi menentang Fulham, kami beraksi buruk selama 30 minit, dan ketika bertemu Grimsby Town, saya benar-benar kecewa dengan keseluruhan persembahan.
"Apa pun, tumpuan kini pada perlawanan berikutnya,” kata Amorim.
Corak 3-4-3 yang dibawa Amorim turut menjadi perdebatan apabila ada yang mempersoalkan kesesuaian taktikal itu dengan barisan pemain sedia ada, malah beliau dikritik kerana dilihat terlalu rigid dengan satu sistem.
Namun, pengendali dari Portugal berusia 39 tahun itu menegaskan beliau tidak menolak perubahan sekiranya benar-benar percaya ia memberi manfaat kepada pasukan.
“Saya bermain sepanjang karier dalam sistem 4-4-2 dan 4-3-3. Satu-satunya sistem yang saya tidak pernah gunakan ialah 3-4-3.
“Apabila semua pemain sudah benar-benar memahami sistem ini, barulah banyak perubahan boleh dilakukan. Jika saya fikir lebih baik untuk ditukar, saya akan lakukannya serta-merta.
“Tetapi jika saya mengubah kepada sesuatu yang saya sendiri tidak percaya, pemain akan tahu saya tidak jujur dengan mereka. Ia bukan tentang sistem semata-mata. Kami tidak tewas kepada GrimsbyTown kerana sistem,” tegasnya.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (30 OGOS)
Chelsea lwn Fulham, 7.30 malam
Wolverhampton lwn Everton, 10 malam
Tottenham Hotspur lwn Bournemouth, 10 malam
Manchester United lwn Burnley, 10 malam
Sunderland lwn Brentford, 10 malam
AHAD (31 OGOS)
Leeds United lwn Newcastle United, 12.30 tengah malam
Brighton lwn Manchester City, 9.30 malam
Nottingham Forest lwn West Ham United, 9.30 malam
Liverpool lwn Arsenal, 11 malam
ISNIN (1 SEPTEMBER)
Aston Villa lwn Crystal Palace, 11.30 malam