DUA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Brad Tapp disahkan layak mewakili Malaysia selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selesai membuat semakan terhadap status kelayakan mereka.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan sebentar tadi memaklumkan pengesahan itu diterima selepas FIFA meneliti status kedua-dua pemain berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia berkenaan.
Bergson sebelum ini berstatus pemain naturalisasi, manakala Tapp adalah pemain warisan dan kedua-duanya kini disenaraikan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia.
Perkembangan itu sekali gus menjawab persoalan mengenai kelayakan kedua-dua pemain untuk menyarung jersi Harimau Malaya, selepas status empat pemain JDT sebagai pemain tempatan sebelum ini menjadi perhatian penyokong tempatan.
Bagaimanapun, status dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan serta pengesahan FIFA, dengan FAM kini menunggu keputusan rasmi daripada badan berkenaan.
Hidalgo dan Lowry turut berstatus pemain naturalisasi dan disenaraikan sebagai pemain tempatan dalam saingan domestik, namun kelayakan beraksi bersama pasukan kebangsaan tertakluk kepada peraturan FIFA.
Sebelum ini, semakan terhadap platform pertukaran persatuan FIFA mendapati nama keempat-empat pemain terbabit tidak muncul dalam rekod pertukaran persatuan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status mereka.
Bagaimanapun, ketiadaan nama dalam platform berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa seseorang pemain tidak layak mewakili Malaysia kerana status pertukaran persatuan perlu dilihat bersama proses semakan dan keputusan kelayakan FIFA.
FAM berkata, pihaknya akan terus memberikan kerjasama dengan mengemukakan segala maklumat serta dokumen diperlukan kepada FIFA berhubung proses semakan Hidalgo dan Lowry sebelum memaklumkan perkembangan lanjut.
Perkembangan itu hadir menjelang kem latihan pusat Harimau Malaya yang dijadual bermula 21 September, dengan jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum ini tidak menolak kemungkinan menyerap beberapa pemain daripada skuad Piala ASEAN FIFA 2026 berdasarkan prestasi terkini mereka dalam saingan liga.