ASNB COVR dilancar, gabung pelaburan dan perlindungan takaful

Iklan
Fadzihan (dua dari kiri) mengiringi Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (tiga dari kiri) melakukan gimik pelancaran sempena Majlis Pelancaran ASNB COVR dan ASNB GO di Merdeka Boulevard 118 di sini pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melakar sejarah baharu apabila melancarkan produk hibrid pertamanya, ASNB Cover (COVR) hasil kerjasama strategik bersama Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS).

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, inisiatif itu diperkenalkan selepas mendengar keperluan rakyat Malaysia yang mahu melabur tetapi pada masa sama memerlukan perlindungan takaful.

Iklan
Iklan

"Ramai pelabur kami sering berhadapan dilema sama ada mahu melabur atau mengambil perlindungan takaful dahulu.

"ASNB COVR hadir sebagai penyelesaian bagi membolehkan mereka melakukan kedua-duanya serentak,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran ASNB COVR dan ASNB GO di Merdeka Boulevard 118 di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut Fadzihan, ASNB COVR menawarkan lima pelan mampu milik bermula daripada RM40 hingga RM200 sebulan dengan struktur unik iaitu 75 peratus daripada sumbangan dilaburkan dalam dana unit amanah ASNB manakala 25 peratus lagi diperuntukkan untuk perlindungan takaful.

Fadzihan (empat dari kiri) mengiringi Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (lima dari kanan) bergambar semasa Pelancaran Bas ASNB GO di Merdeka Boulevard 118 di sini pada Sabtu.

Iklan

"Perlindungan itu meliputi manfaat kematian, hilang upaya kekal, penyakit kritikal dan khairat kematian dengan jumlah pampasan yang mencecah ratusan ribu ringgit," ujar beliau.

Beliau menjelaskan, ASNB selama lebih 40 tahun memberi tumpuan kepada produk pelaburan, tetapi kini bergerak setapak lagi dengan menyediakan solusi kewangan menyeluruh.

"Harapan kami adalah untuk menarik lebih ramai khususnya generasi muda menyertai pasaran kewangan dengan cara mudah, berpatutan dan lengkap,” ujar beliau.

Jelasnya, sasaran awal ASNB adalah menarik sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 13 juta pelabur sedia ada untuk melanggan produk baharu itu.

Semasa berucap di majlis perasmian itu, Fadzihan menjelaskan, ASNB turut memperkenalkan Kempen 'Cover Hidupmu' yang memberi peluang kepada pemegang unit memenangi hadiah bernilai sehingga RM3,000 dengan melanggan pakej ASNB COVR120 dan ke atas.

Jelas beliau, kempen itu berlangsung mulai 25 Ogos lalu hingga 31 Januari tahun depan.

Kata beliau, majlis pelancaran itu turut berlangsung serentak dengan The Sky Race iaitu pertandingan larian menara pertama yang diadakan di Merdeka 118 yang merupakan menara kedua tertinggi di dunia.

"Acara ekstrem ini disertai ratusan peserta dari dalam dan luar negara yang menguji ketahanan fizikal dengan menawan ratusan anak tangga hingga ke puncak.

"Jika peserta The Sky Race menawan langit dengan kekuatan fizikal, kami di ASNB mahu rakyat Malaysia menawan masa depan dengan kekuatan kewangan.

"Kedua-duanya acara ini bergerak seiring dengan kekuatan fizikal yang sihat dan kewangan mantap," tambah beliau.