Gudang kain hangus, pekerja lupa cabut plag seterika

Iklan
Gudang kain tiga tingkat di Phetchaburi, Thailand, musnah dalam kebakaran dipercayai akibat pekerja terlupa mencabut plag seterika. Foto media Thailand

THAILAND - Seorang pekerja yang dipercayai terlupa mencabut plag seterika mengundang tragedi apabila sebuah gudang kain terkenal di wilayah Phetchaburi musnah dalam kebakaran awal pagi Khamis.

Menurut laporan portal berita Thailand, Khaosod, kebakaran kira-kira jam 2.19 pagi itu memusnahkan bangunan komersial tiga tingkat yang menempatkan gudang penyimpanan kain serta bengkel jahitan pakaian tempahan khas.

Iklan
Iklan

Api marak bermula dari tingkat dua dan tiga sebelum merebak ke tingkat bawah bangunan, malah beberapa letupan turut kedengaran ketika kejadian.

Pihak berkuasa terpaksa meminta penduduk berdekatan segera mengalihkan kenderaan dan keluar dari kawasan itu kerana api merebak dengan cepat.

Iklan

Pasukan penyelamat bersama bomba mengambil masa lebih sejam setengah untuk mengawal kebakaran berkenaan.

Pemilik premis, Sittirat Rojanapornphan, 45, berkata, dia sempat meninjau bangunan itu pada sebelah petang sebelum pekerja menutup operasi seperti biasa.

Iklan

Bagaimanapun, dia menerima panggilan daripada jiran pada tengah malam yang memaklumkan bangunan berkenaan sedang terbakar.

“Bangunan itu digunakan untuk simpanan kain dan tempat menjahit pakaian khas. Saya syak pekerja terlupa mencabut plag seterika hingga menyebabkan haba terkumpul lalu mencetuskan kebakaran,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati semua mesin jahit, peralatan elektrik, kain serta dokumen penting musnah dalam kejadian itu.

Jumlah kerugian dianggarkan mencecah 10 juta baht (sekitar RM1.3 juta).