KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM120,000 selepas mendakwa diperdaya sindiket pelaburan Forex yang diperkenalkan menerusi laman media sosial pada Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 46 tahun mula berkenalan dengan seorang wanita di media sosial pada 15 Julai lalu sebelum ditawarkan menyertai satu skim pelaburan.
Iklan
Iklan
"Pada 22 Ogos, mangsa telah mendaftar di platform tersebut dan membuat empat transaksi berjumlah RM120,000 antara 23 hingga 25 Ogos ke dua akaun bank berasingan menggunakan wang simpanan peribadi.
"Mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wang daripada platform terbabit dan masih diminta suspek menambah modal pelaburan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan tawaran pelaburan tidak sah serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang kepada mana-mana pihak," katanya.