Imej ikonik yang tercalar

Iklan
Kehadiran penjual makanan bergerak serta jurugambar bebas yang menawarkan khidmat mereka di kawasan sekitar KLCC semakin menimbulkan rungutan. - Gambar hiasan

MENARA Berkembar Petronas adalah lambang kebanggaan negara.

Bukan sahaja menjadi mercu tanda Kuala Lumpur, malah pernah mengangkat nama Malaysia sebagai pemilik bangunan berkembar tertinggi dunia.

Iklan
Iklan

Tidak hairanlah, setiap pelancong yang menjejak kaki ke ibu kota pasti menjadikan KLCC sebagai lokasi wajib dalam itinerari mereka.

Keindahan seni bina moden ini sentiasa menjadi latar belakang gambar kenangan pengunjung, baik dari dalam mahupun luar negara.

Iklan

Namun, di sebalik panorama indah yang dibanggakan, ada sisi lain yang mencacatkan pemandangan.

Kehadiran penjual makanan bergerak serta jurugambar bebas yang menawarkan khidmat mereka di kawasan sekitar semakin menimbulkan rungutan.

Iklan

Isu ini bukan baharu, malah pihak berkuasa pernah mengambil tindakan pada Julai lalu dengan mengeluarkan kompaun RM2,000 terhadap mereka yang dikesan berniaga tanpa kebenaran.

Malangnya, selepas beberapa minggu, kegiatan sama kembali berleluasa seolah-olah tiada sebarang tindakan diambil.

Apa yang lebih merisaukan, kelompok jurugambar ini dikatakan ‘menguasai’ beberapa sudut strategik di sekitar kawasan menara, tempat yang dianggap paling cantik untuk merakam foto dengan latar belakang mercu tanda itu.

Pelancong yang mahu mengambil gambar sendiri sering merasa terganggu kerana kawasan berkenaan seakan-akan telah dimonopoli.

Ada juga aduan bahawa mereka sanggup menutup laluan sempit, berdiri di tepi jalan, sekali gus menimbulkan kesesakan kecil.

Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pengalaman pelancong, malah menimbulkan risiko keselamatan terutama apabila pengunjung perlu berdiri di jalan berhampiran kenderaan yang lalu lalang.

Soalnya, sampai bila kita mahu membiarkan isu kecil ini berlarutan sehingga menjejaskan imej negara?

KLCC sepatutnya menjadi kawasan pelancongan kelas dunia yang teratur dan selesa, bukan lokasi yang dipenuhi gangguan daripada aktiviti tidak terkawal.

Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan lebih tegas sama ada melalui rondaan berkala, kawalan pihak pengurusan kawasan, mahupun menyediakan ruang khas jika benar ada permintaan terhadap servis jurugambar.

Jika tidak, kita bimbang pelancong mula merasa muak, hilang minat, malah mungkin menularkan pengalaman negatif mereka ke seluruh dunia.

Jangan sudah terhantuk baru nak bertindak!