LEBIH enam dekad selepas kita meraih kemerdekaan, Malaysia telah melalui pelbagai fasa pembangunan daripada dasar ekonomi silih berganti kepada slogan politik yang berwarna-warni.
Namun, di sebalik semua itu, persoalan besar masih berlegar: sudahkah kita benar-benar matang sebagai satu bangsa?
Mengapa setelah sekian lama, kita masih berputar dalam isu lama, kedudukan bangsa, agama, simbol patriotisme, seolah-olah kita tidak pernah lulus daripada peperiksaan sejarah?
Hampir seabad dahulu, tokoh pemikir besar, Za’ba, sudah pun memberi amaran bahawa kemajuan bangsa tidak mungkin tercapai tanpa perubahan sikap dan akhlak.
Beliau menekankan bahawa kemunduran bukan hanya berpunca daripada kemiskinan harta tetapi daripada kemiskinan adab, ilmu dan akal budi. Za’ba menulis dengan penuh kebimbangan: bangsa yang malas berfikir, enggan berusaha dan cepat berpuas hati akan kekal terperangkap dalam kitaran lama.
Bagi Za’ba, pendidikan adalah jalan keluar iaitu proses melatih manusia berfikir secara kritis, berdisiplin dan bertanggungjawab. Lebih penting, pendidikan mesti melahirkan watak luhur yang beradab tinggi.
Hari ini, kita melihat kebenaran kata- kata beliau. Kita membina lebuh raya, menara pencakar langit dan zon ekonomi moden.
Namun, tamadun tidak pernah diukur pada konkrit dan keluli semata-mata. Ia dinilai pada jiwa yang mengisinya.
Apabila adab dan akhlak hilang, pembangunan menjadi kosong. Apabila ilmu dipandang remeh, bangsa tidak akan berdaya saing.
Lebih menyedihkan, semangat kemerdekaan yang sepatutnya menyala dalam jiwa sering direduksi kepada ritual luaran.
Kita mengibarkan bendera hanya apabila diberi percuma, melaungkan slogan tanpa memahami makna di sebaliknya. Patriotisme menjadi upacara, bukan kesedaran.
Dalam keadaan ini, usaha kerajaan memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dengan falsafah Madani harus dilihat sebagai langkah penting untuk keluar daripada kitaran lama.
Gagasan Madani berasaskan enam teras - kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan - bukan sekadar retorik, tetapi panduan strategik untuk membina negara maju yang berjiwa peradaban.
Antara inisiatif utama RMK-13 ialah konsep ‘menaikkan lantai’ supaya tiada rakyat tercicir daripada pendidikan dan pembangunan, dan ‘menaikkan siling’ untuk melonjakkan keupayaan negara dalam industri bernilai tinggi seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), STEM serta inovasi digital.
Pendekatan ini cuba mengimbangi dua dimensi penting: material dan spiritual, sejajar dengan maqasid syariah yang menuntut pembangunan insan dan masyarakat secara seimbang.
Namun, kita harus jujur: dasar sehebat mana pun akan gagal jika budaya lama tidak berubah.
Za’ba sendiri pernah mengingatkan bahawa bangsa yang mahu bangkit mesti berani melakukan otokritik.
Kita tidak boleh terus menuding jari kepada penjajah, kerajaan atau orang lain. Kita harus berani melihat ke dalam cermin dan mengakui kelemahan diri. Kritikan yang lahir daripada kasih terhadap bangsa bukanlah penghinaan, tetapi syarat untuk maju.
Bila Kita Mahu Beranjak?
Sampai bila kita mahu mengulang wacana lama? Sampai bila kita mahu terperangkap dalam nostalgia perjuangan tanpa bergerak ke hadapan?
Tidakkah kita mendambakan momen pencerahan di mana kita sedar bahawa jawapan lama tidak lagi memadai dan bangsa ini perlu melonjak ke tahap baharu?
Kita harus faham bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi keupayaan untuk berdikari, berdaya saing dan beradab.
Jika pendidikan kita hanya melahirkan pencari sijil tanpa membina akal budi, kita tidak akan berjiwa tamadun.
Jika patriotisme kita sekadar bendera percuma, kita tidak akan merdeka dalam erti sebenar.
Sudah sampai masanya kita melangkah keluar daripada kitaran isu lama. Kita tidak boleh lagi hidup sebagai bangsa yang berpuas hati dengan simbol tanpa isi.
Za’ba telah memberi kita panduan hampir seabad yang lalu: bina bangsa dengan ilmu, adab dan disiplin.
Jika kita terus miskin adab dan miskin ilmu, semua pembangunan hanya akan menjadi kota kosong.
Tetapi jika kita berani memaknakan kemerdekaan dengan penghayatan ilmu dan akhlak, kita akan benar-benar matang sebagai bangsa - bukan sekadar di mata dunia, tetapi di sisi sejarah.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)