Malaysia kelompok 16 negara terawal punya perundangan pekerja gig

Iklan
Steven bersama wakil NGO yang terlibat dalam ekonomi gig mengibarkan Jalur Gemilang pada sidang akhbar selepas RUU Pekerja Gig diluluskan di Dewan Rakyat pada petang Khamis.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan muncul sebagai kelompok 16 negara terawal di dunia yang mempunyai perundangan khusus pekerja gig susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, setakat ini sebanyak 15 negara telah memperkenalkan undang-undang tersebut dan Malaysia bakal menjadi negara ke-16 apabila RUU berkenaan diluluskan di Dewan Negara serta diwartakan selepas ini.

Iklan
Iklan

“Ini menoktahkan penantian dan ketidakadilan terhadap pekerja gig. Akhirnya kita dapat memberikan pembelaan kepada mereka.

“Saya yakin langkah ini juga akan memperkasakan ekonomi gig digital negara dan memberikan keyakinan kepada pelabur, khususnya apabila Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang menghormati amalan perburuhan mengikut piawaian antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, sekali gus bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor berkenaan mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja.

Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang itu akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 ahli Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Iklan

Mengulas lanjut, Steven yakin kerangka undang-undang tersebut akan memberikan kepastian dan kejelasan kepada sektor ekonomi gig.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan RUU itu diluluskan, termasuk membabitkan 4,000 individu yang hadir memberi maklum balas secara bersemuka dan 500 maklum balas yang diterima dalam talian.

Sebanyak 10 pemegang taruh terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) turut hadir pada sidang akhbar berkenaan, termasuk Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia dan Persatuan Rakan Penghantar Malaysia, yang meluahkan rasa syukur kerana peranan mereka akhirnya diiktiraf.