KOTA BHARU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menyelamatkan dua ekor kambing yang terperangkap di atas bumbung sebuah banglo di Kampung Kubang Kacang di sini pada Khamis.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Kota Bharu, Mejar (PA) Mohd Saiful Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu daripada seorang individu berusia 54 tahun pada jam 9.56 pagi meminta bantuan.
"Menurut wanita terbabit dia sendiri tidak menyedari kehadiran dua ekor kambing di atas bumbung rumahnya sehingga dimaklumkan oleh jiran.
"Kesian melihat keadaan kambing yang terperangkap itu, dia mengambil keputusan menghubungi pihak APM," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Saiful Azam, anggota APM tiba di lokasi jam 10.17 pagi dan mengambil masa selama 35 minit untuk membawa kedua-dua ekor kambing terbabit turun dengan selamat.
Katanya, anggota APM terpaksa memanjat bumbung rumah berkenaan sebelum menyerahkan kambing itu kepada pemiliknya.