Petronas berdepan tekanan baharu dalam dinamik politik terkini

Iklan

SHAH ALAM - Petronas kini berdepan cabaran baharu apabila hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri-negeri pengeluar minyak semakin kompleks sejak 2018.

Ahli Majlis Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Yazid Othman berkata, perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 memberi kesan langsung kepada kemampuan syarikat minyak negara itu menyalurkan dividen kepada kerajaan pusat, yang menjadi sumber penting untuk membayar gaji penjawat awam, menampung subsidi dan membiayai projek pembangunan.

Iklan
Iklan

Pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang stabil selama enam dekad, kedudukan Petronas terjamin.

Kerajaan persekutuan kukuh dan syarikat ini boleh berfungsi sebagai institusi nasional serta mengumpul hasil daripada negeri pengeluar minyak seperti Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan sebelum diagihkan semula,” katanya.

Iklan

Beliau menjelaskan kekuatan politik BN ketika itu, yang diterajui UMNO bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak, memastikan agenda pembangunan negara berjalan lancar tanpa pertikaian besar antara pusat dan negeri.

Namun keadaan berubah selepas 2018 apabila blok Sarawak, kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) keluar daripada BN dan mula memperkukuh kawalan terhadap sumber minyak negeri melalui penubuhan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Iklan

YAZID

“Secara tiba-tiba timbul persoalan: agenda Sarawak atau agenda Malaysia? Jika Sarawak mengambil bahagian lebih besar, negeri lain seperti Sabah mungkin ikut sama.

Ini akan mengurangkan jumlah yang boleh disalurkan Petronas kepada kerajaan pusat,” jelas Yazid.

GPS ditubuhkan pada Jun 2018 selepas empat parti komponen BN Sarawak meninggalkan gabungan itu.

Kini, GPS memegang 23 kerusi Parlimen dan menjadi penentu utama pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas PRU15 apabila tiada gabungan mendapat majoriti jelas.

Yazid berkata, situasi ini meletakkan Anwar dalam kedudukan lebih sukar berbanding perdana menteri dari BN kerana kerajaan perpaduan memerlukan sokongan parti-parti Sarawak untuk terus stabil.

“Kerajaan kini tersepit di antara dua tuntutan iaitu desakan negeri pengeluar minyak untuk autonomi lebih besar dan keperluan Putrajaya mengekalkan dividen Petronas bagi menstabilkan kewangan negara.

“Jadi Perdana menteri mesti bijak mengimbangi kepentingan semua pihak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa penurunan dividen Petronas boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi negara.

“Jika dividen berkurang, bagaimana hendak bayar gaji penjawat awam, subsidi dan projek pembangunan? Dari mana mahu cari berbilion ringgit yang hilang itu?” soalnya.