Psy disiasat polis, disyaki miliki ubat secara haram

Iklan
Penyanyi K-pop, Psy ketika membuat persembahan di Sydney. - AFP

SEOUL - Bintang K-pop terkenal, Psy disiasat polis Korea Selatan berhubung dakwaan menerima preskripsi ubat psikotropik secara tidak sah tanpa pemeriksaan bersemuka di hospital.

Menurut Balai Polis Seodaemun Seoul pada 28 Ogos, penyanyi berusia 47 tahun itu bersama seorang doktor universiti telah didakwa melanggar Akta Perkhidmatan Perubatan selepas menerima preskripsi ubat Xanax dan Stilnox sejak 2022 hingga baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Ubat berkenaan dikatakan diambil oleh pengurus dan pihak ketiga bagi pihak Psy, yang nama sebenarnya Park Jae-sang.

Polis memulakan siasatan selepas menerima maklumat dan menyerbu hospital universiti terbabit untuk mendapatkan rekod perubatan.

Iklan

Di bawah undang-undang Korea Selatan, preskripsi hanya boleh diberikan selepas perundingan bersemuka dengan pesakit, manakala pengambilan ubat oleh selain pesakit adalah dilarang sama sekali.

Kedua-dua ubat itu diklasifikasikan sebagai psikotropik dengan risiko ketagihan tinggi, sekali gus memerlukan kawalan rapi.

Iklan

Doktor terbabit menafikan salah laku dan mendakwa preskripsi dikeluarkan selepas rundingan jarak jauh.

Agensi Psy, P Nation, mengakui berlaku kesilapan apabila ubat diambil melalui pihak ketiga, namun menegaskan penyanyi lagu Gangnam Style itu sudah lama menghidap gangguan tidur kronik dan mengambil ubat hanya di bawah pengawasan perubatan.

Polis memaklumkan mereka akan mempertimbangkan untuk memanggil Psy bagi siasatan lanjut selepas meneliti rekod perubatan yang dirampas. - Agensi