KOTA BHARU - Seorang bapa berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol anak gadisnya yang berusia 14 tahun.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Kuala Krai pada jam 11 malam, 13 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan jaminan kerana kes berkenaan melibatkan hubungan mangsa sebagai anak kandung tertuduh.
Tertuduh yang diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagaimanapun hanya berdiam diri sambil berpaling ke arah dua wanita, juga ahli keluarganya, yang menangis di galeri awam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Kes ditetapkan pada 2 Oktober ini untuk sebutan semula.