PDRM pacu transformasi kepolisan berteraskan teknologi AI

Iklan
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penguatkuasaan selain memberi fokus terhadap usaha membanteras gejala buli dan memperkasa integriti pasukan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu menjadi sebahagian daripada tiga fokus utama beliau sejak mengambil alih kepimpinan PDRM lebih dua bulan lalu bagi memastikan pasukan terus relevan dengan cabaran semasa.

Iklan
Iklan

"Tiga fokus utama ialah transformasi kepolisan yang dipacu teknologi dan AI, memperkasa integriti PDRM serta memantapkan kesejahteraan rakyat dan pasukan.

"Setiap jabatan dan formasi perlu memanfaatkan teknologi moden secara optimum untuk mengukuhkan operasi dan penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi Ogos 2025 di Dataran Kompleks 3, Cawangan Khas, Bukit Aman pada Khamis.

Dalam ucapannya, Mohd Khalid turut memberi penekanan terhadap isu buli membabitkan pelajar yang disifatkan semakin serius dan perlu dicegah secara kolektif.

Iklan

"PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan lebih komited mendekati pelajar bersama pihak sekolah dan ibu bapa.

"Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) perlu lebih cakna dengan persekitaran sekolah agar gejala buli dapat dikesan lebih awal," katanya.

Beliau dalam masa sama mengiktiraf kejayaan Cawangan Khas yang berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan Gerakan Militan Bangladesh (GMB) di Johor dan Selangor sehingga membawa kepada penahanan 39 warganya.

"Sejak Januari hingga Julai lalu, Cawangan Khas turut menjayakan 144 operasi dengan nilai rampasan lebih RM187,000 melibatkan kegiatan sabotaj ekonomi, penyeludupan migran dan pemalsuan dokumen.

"Perisikan berasaskan AI juga akan dipergiat bagi mengukuhkan keselamatan negara selain mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sentimen 3R di media sosial yang boleh menggugat keharmonian," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa peranan wanita dalam PDRM menerusi Skuad Aman Wanita (AMANITA) sebagai jambatan kerjasama dengan komuniti, khususnya dalam usaha mencegah jenayah di kawasan kejiranan.

Dalam majlis itu, Mohd Khalid turut menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 44 penerima termasuk dua anggota penyelamat daripada Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit dalam operasi menyelamat mangsa nahas pesawat helikopter PDRM di perairan Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pada 10 Julai lalu.