NAIB juara musim lalu, Selangor FC kembali menunjukkan taring apabila membenam Terengganu FC 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Selepas dikecewakan Negeri Sembilan FC 1-2 di Paroi minggu lalu, Gergasi Merah tampil garang di hadapan 6,055 penonton.
Sentuhan berbisa penyerang import, Chrigor Moraes meledak hatrik pada minit ke-17, m-36 dan masa kecederaan babak pertama (m-45+1).
The Red Giants menambah derita pelawat apabila Alvin Fortes menggandakan jaringan pada minit ke-25.
Pemain gantian,Aliff Izwan Yuslan, memastikan kemenangan bergaya dengan gol kelima pada penghujung permainan (m-90+6).
Terengganu kendalian Badrul Afzan Razali, yang turun dengan reputasi besar selepas membelasah DPMM FC 5-0 di Brunei, membalas menerusi penalti Gabriel Silva (m-69’) dan jaringan Junior Ngong sam (m-82’).
Sementara itu, Kuala Lumpur City FC kembali tersenyum selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Disaksikan 616 penonton, skuad kendalian Risto Vidakovic bermula garang apabila Safawi Rasid (m-25) membuka tirai jaringan sebelum kapten Paulo Josue menggandakan kelebihan pada minit ke-53.
KL City terus menguasai permainan dan memperoleh gol ketiga menerusi sepakan penalti Manuel Nicolao Dumitru (m-77) untuk meletakkan The City Boys di kedudukan selesa.
The Cops kendalian Eddy Gapil yang bergelut mencari rentak hanya mampu meraih gol saguhati pada minit ke-90 menerusi jaringan Kyaw Min Oo.
Kemenangan ini menjadi tonik buat KL City dalam misi memperbaiki kedudukan liga, manakala PDRM pula terpaksa pulang hampa selepas gagal membawa pulang mata dari Cheras.