Cabaran Jun Hao di Paris terhenti

Iklan
Jun Hao

[DIKEMAS KINI] CABARAN pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, dalam Kejohanan Dunia berakhir dalam tempoh 89 minit di pusingan kedua selepas tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto, di Adidas Arena, Paris, Perancis pada Rabu.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-25 dunia bermula cemerlang apabila menundukkan Nishimoto 21-17 pada set pertama dalam tempoh 23 minit.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pemain ranking ke-14 dunia itu bangkit lebih kemas pada set kedua untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-13, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan Jun Hao mendahului 6-0, namun Nishimoto tidak mudah mengalah apabila mengutip mata demi mata sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan tipis 25-23.

Iklan

Sebelum ini, Jun Hao membuka tirai kempen sulungnya dengan menewaskan pemain Switzerland, Tobias Kuenzi, 21-14, 21-12 pada pusingan pertama.

Nishimoto pula mara selepas menyingkirkan wakil Taiwan, Wang Tze Wei, dengan kemenangan straight set 21-13, 21-12.

Iklan

Sementara itu, Jun Hao mengakui kecewa selepas gagal mara ke pusingan ketiga kerana sudah berada di depan pada awal set penentuan sebelum Nishimoto bangkit menafikan hasratnya untuk mencipta kejutan.

“Saya rasa agak sedih sebab pada set ketiga saya bermula dengan baik dan mendahului, malah perlawanan sangat mendebarkan hingga ke mata penentuan. Tetapi akhirnya saya gagal habiskan,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun mempamerkan semangat juang luar biasa apabila berjaya menyelamatkan beberapa mata ‘match point’, sebelum akur tunduk kepada pengalaman lawannya.

“Masa tu saya hanya cuba berikan segalanya yang saya ada, lebih berani untuk ambil risiko dan teruskan bermain tanpa fikir terlalu banyak. Sayangnya masih tidak mencukupi,” jelasnya.

Jun Hao yang membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia juga mengakui banyak perubahan positif dalam permainannya sejak mendapatkan bimbingan jurulatih Kenneth Jonassen, khususnya dari segi kesabaran dan corak serangan.

“Saya lebih banyak belajar untuk tidak terlalu gopoh dan cuba lebih sabar bina permainan. Walaupun kecewa dengan keputusan hari ini, saya tetap puas hati dengan tahap permainan yang ditunjukkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pengalaman beraksi di pentas besar itu memberi makna tersendiri dalam kariernya, namun mengakui pencapaian akan lebih manis jika berjaya mara lebih jauh.

“Ini detik penting dalam karier saya, tetapi kalau menang pastinya lebih baik,” katanya.