KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) dan pelengkap Akta Tatacara Kewangan 1957 adalah untuk memperkukuh pengurusan fiskal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akta itu bertujuan untuk menangani ketirisan dan mengoptimum sumber negara agar dapat terus memacu pembaharuan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata, perolehan menerusi rundingan terus yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat dan memanfaatkan sekumpulan kecil golongan elit, sedangkan projek utama seperti tebatan banjir, sekolah, jalan raya dan kesihatan menelan belanja yang begitu besar.
"Sejak tahun pertama (pentadbiran), saya telah memberhentikan amalan rundingan terus dan beralih kepada sistem perolehan tender bagi projek pembangunan biasa.
"Sebelum ini tidak mustahil untuk projek seperti jalan raya, sekolah dan hospital dianugerahkan secara rundingan terus," kata beliau ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebilangan kelulusan lalu yang dibuat secara tergopoh-gapah telah dibatalkan dan ditender semula bagi memastikan projek cakna rakyat dan berimpak tinggi dilaksanakan dengan nilai faedah terbaik serta memberi penjimatan kepada kerajaan.
Beliau berkata, berpayungkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka peralihan besar, usaha kerajaan adalah untuk menaikkan siling dan lantai iaitu menstruktur semula ekonomi supaya bernilai tinggi yang akhirnya memberi limpahan hasil yang dapat mengangkat taraf hidup rakyat.
"Kerajaan Madani telah mencipta detik bersejarah apabila berani menggubal FRA yang mengandungi beberapa penanda aras tegas berkaitan pengurusan fiskal serta mengembalikan kuasa Menteri Kewangan kepada Parlimen untuk tujuan pemantauan.
"Kerajaan telahpun menggerakkan beberapa kerangka penting termasuk Kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang digarap bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi juga meleraikan segala kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama," kata beliau.
Perdana Menteri berkata, dalam merangka RUU berkenaan, kerajaan telah menjalankan penelitian rapi serta mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, merangkumi entiti kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, persatuan kontraktor, persatuan profesional, badan bukan kerajaan dan ahli akademik.
"Ini bagi menyatakan hasrat kerajaan dan mendapatkan input balas bagi RUU Perolehan Kerajaan," kata beliau. - Bernama