Pengusaha agensi umrah didakwa ingkar bayar tuntutan RM41,296

Iklan
Seorang pengusaha agensi umrah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu selepas didakwa gagal mematuhi perintah TTPM untuk membayar tuntutan berjumlah lebih RM41,000. Foto KPDN

KOTA BHARU - Seorang pengusaha agensi umrah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas didakwa gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar tuntutan berjumlah lebih RM41,000.

Tertuduh berusia 56 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa ingkar arahan Presiden TTPM yang memerintahkannya membayar balik sebanyak RM41,296 kepada seorang penuntut berkaitan perkhidmatan umrah selewat-lewatnya pada 30 Mei lalu namun gagal berbuat demikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Jun lalu di Pejabat TTPM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Iklan

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan bersama Muhammadi Iman Masjuri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin warganegara dan dia membayar wang jaminan tersebut

Iklan

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September depan bagi pengurusan dokumen sebelum dibicarakan.