SEPANG - [DIKEMAS KINI] Penyanyi lagu Kelepuk Raya yang pernah mencetuskan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, menangis selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu melepaskan dan membebaskannya daripada empat pertuduhan memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan tambahan di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, hakim berkata, pihak pembelaan berhujah berdasarkan kes aktivis Heidy Quah Gaik Li, iaitu berhubung perkataan menjengkelkan dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
Menurutnya, persamaan kes Heidy Quah dengan kes Aliff Syukri adalah mengenai perkataan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati.
Katanya, semua pertuduhan merujuk kepada perkataan yang telah diisytiharkan tidak berperlembagaan.
Beliau menambah, tiada pindaan dibuat terhadap pertuduhan sedangkan kes masih boleh diselamatkan sekiranya pindaan dilakukan, antaranya menggunakan perkataan lain.
“Bagaimanapun, pendakwaan mengekalkan pertuduhan itu sehingga ke akhir kes pembelaan.
“Jadi, pertuduhan dihadapi OKS menjadi cacat kerana terdapat perkataan yang dibatalkan undang-undang dan mahkamah memutuskan untuk melepaskan OKS daripada pertuduhan,” katanya.
Sejurus mendengar keputusan itu, Aliff Syukri yang berada di kandang tertuduh mengalirkan air mata dan mengucapkan terima kasih kepada mahkamah.
“Yang Arif, saya berjanji… saya janji tidak akan buat kesalahan itu lagi,” katanya sebak.
Hakim Ahmad Fuad kemudian menasihati peniaga yang juga usahawan itu agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
Mengikut empat pertuduhan, Aliff Syukri didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa video bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram ‘aliffsyukriterlajaklaris’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dikesan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada 24 April tahun sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Faten Hadni Khairuddin, manakala Aliff Syukri diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi, Mohd Radzlan Jalaludin dan Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Sebelum ini, video muzik raya nyanyian Aliff Syukri yang dikatakan berunsur komedi mendapat kecaman masyarakat kerana menampilkan aksi lembut sekumpulan penari lelaki.
Video berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan, malah ada pihak menuduh ia sebagai usaha halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Pada 19 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membatalkan perkataan menghina dan menjengkelkan dalam Seksyen 233 AKM, selepas mendapati ia tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 8.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng, mendapati terdapat merit dalam hujahan perayu, iaitu Heidy Quah, bahawa tiada kaitan rasional antara komunikasi dipersoalkan dan ancaman terhadap ketenteraman awam.